Broker Papa Kedana


Seorang broker terpaksa berputih mata apabila hasratnya untuk menggandakan simpanan dengan melabur saham berpusat di Hong Kong tidak kesampaian, malah mengalami kerugian sebanyak RM1.45 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 44 tahun, semalam.

Katanya, mangsa tertarik dengan pelaburan tersebut selepas melihat iklan di media sosial Facebook pada bulan Mei lalu.

“Pelaburan daripada syarikat bernama Pantheon Ventures itu menjanjikan pulangan 100 peratus iaitu 25 peratus buat ejen dan 75 peratus buat pelabur. Selain itu, mangsa turut ditawarkan percutian percuma ke Hong Kong untuk bertemu dengan pelabur lain."

“Kerana percaya, mangsa membuat pelaburan sebanyak RM1.5 juta ke dalam beberapa akaun berbeza sejak Jun hingga Ogos lalu. Mangsa juga memuat-turun aplikasi Apex untuk memantau pelaburan dibuat."

“Pemeriksaan awal mendapati pelaburan itu menguntungkan. Sehubungan itu mangsa mengeluarkan sedikit pelaburan dan meninggalkan RM1.45 juta untuk meneruskan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Kumar, mangsa kemudian hanya menyedari telah ditipu apabila wang pelaburannya tidak dapat diambil semula atas dakwaan telah melanggar peraturan pelaburan.

“Nombor telefon mangsa juga telah disekat, menghalangnya untuk berkomunikasi dengan ejennya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
 

0/komen