
Beberapa tahun lalu, Dyson telah memperlihatkan produk audio pertama mereka, iaitu Dyson Zone yang hadir dengan ciri membersihkan udara di sekeliling kepala anda, yang mungkin dilihat berguna sekiranya anda berada di kawasan dengan isu pencemaran serius.

Terkini, Dyson telah memperlihatkan fon kepala kedua mereka, yang dinamakan Dyson OnTrac, yang dilihat hadir dengan rekaan yang mungkin tidak seunik Dyson Zone, tetapi mengekalkan beberapa ciri rekaan yang membolehkan orang tahu bahawa mereka sedang memakai sepasang fon kepala Dyson.
Fon kepala OnTrac ini dilihat hadir dengan rekaan industrial, menggabungkan logam aluminum yang hadir dengan pelbagai jenis warna yang boleh ditukar. Ini juga termasuklah kusyen dalaman yang boleh diubahsuai dengan pelbagai pilihan warna, bergantung kepada kehendak pengguna.
Dari segi kualiti audio pula, Dyson OnTrac menggunakan pemandu audio bersaiz 40mm yang mana menurut Dyson, boleh mengolah audio dalam julat frekuensi 40Hz sehinggalah 21KHz yang menjanjikan olahan bass, treble dan nota tinggi yang tidak menyakitkan telinga.

Selain daripada sambungan nirwayar Bluetooth, jika anda mahu menyambungkan fon kepala ini pada sebuah DAC ataupun amplifier, anda boleh melalukannya melalui sambungan palam audio 3.5mm yang terbina. Ia juga hadir dengan sokongan untuk ciri pembatalan bunyi hingar aktif ANC. Untuk sambungan nirwayar, Dyson berkata fon kepala OnTrac ini mampu memainkan audio daripada peranti selama 55 jam berturut-turut dengan satu pengecasan penuh.
Dyson OnTrac dilihat hadir pada tanda harga $500 dan seperti kesemua produk-produk mereka, dipasarkan sebagai produk premium, dan akan mula dijual di pasaran-pasaran terpilih terlebih dahulu. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi jika Dyson Malaysia akan membawa masuk fon kepala ini.
Catat Ulasan