Hidup Dalam ‘Kandang’ Angkara Pengganas Zionis


Pengganas zionis sengaja memaksa seramai 1.7 juta penduduk Palestin berasak ke kawasan sempit seluas kurang satu persepuluh daripada keseluruhan wilayah Semenanjung Gaza.

Pejabat Media Kerajaan Gaza(GMO) mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa tentera pengganas zionis  terus melakukan jenayah paling mengerikan terhadap orang awam di wilayah Palestin tersebut.

Terbaharu, Rejim Pengganas Zionis dituduh melakukan pemindahan secara paksa lebih 1.7 juta orang awam Palestin.

“Tentera penjajah Israel sengaja menempatkan 1.7 juta orang awam Palestin di kawasan sempit yang tidak melebihi satu persepuluh daripada keseluruhan Semenanjung Gaza."

“Mereka mendorong penduduk Gaza berpindah dan ditempatkan secara paksa ke kawasan yang mereka mahukan dengan melakukan pelbagai ancaman dan serangan seperti pengeboman, tembakan dan penggunaan kaedah yang dila­rang masyarakat antarabangsa.

“Ini merupakan jenayah kemanusiaan."

“Tindakan tersebut mengesahkan tanpa sebarang keraguan bahawa tentera penjajah zionis sengaja ‘menjerut’ penduduk Palestin supaya melarikan diri ke kawasan yang sangat sempit, tidak melebihi satu persepuluh wilayah Semenanjung Gaza,” tambah GMO.

Menyingkap bagaimana pengganas zionis  telah mengecilkan zon selamat di Gaza sejak Oktober tahun lalu, pejabat tersebut berkata, pada November 2023, sebanyak 63 peratus kawasan di Semenanjung dianggap sebagai zon kemanusiaan selamat.

Namun, sejak itu, zon selamat telah berkurangan kepada cuma 9.5 peratus daripada wilayah Pa­lestin itu.

Bandar Gaza dan kawasan uta­ra Semenanjung Gaza tidak dianggap sebagai zon selamat walaupun terdapat 700,000 orang awam Palestin di kawasan tersebut, jelas pejabat sama.

GMO turut mengutuk sekeras-kerasnya jenayah pemindahan paksa pengganas zionis itu.

Menurutnya, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesan buruk dan bahaya akibat jenayah berterusan itu.

Katanya, Rejim Pengganas  Zionis mahu menempatkan semula orang awam di Semenanjung Gaza serta mengurung mereka di tempat yang tidak boleh didiami kerana ketiadaan bekalan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan normal.

GMO turut menyeru masya­rakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua negara dunia untuk mengenakan lebih banyak tekanan ke atas Israel.

Pentadbiran AS juga didesak segera menghentikan perang Israel bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Sepanjang tiga minggu pertama bulan ini, pengganas zionis menghantar 11 arahan pemindahan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Arahan itu dikeluarkan melalui risalah yang digugurkan daripada pesawat, mesej teks atau media sosial.

Melaluinya, tentera pengganas zionis  menyeru 250,000 penduduk Gaza yang hampir kesemuanya menjadi pelarian supaya meninggalkan tempat perlindungan mereka.

“Demi keselamatan anda, kami menggesa anda segera berpindah,” demikian menurut arahan yang disebarkan di bandar Khan Younis, selatan Gaza kelmarin.

“Setiap kali kami tiba di suatu tempat, kami mendapat perintah pemindahan baharu dua hari kemudian."

“Ini bukan cara untuk hidup,” kata seorang penduduk, Haitham Abdelaal.

Seorang lagi pendduk Gaza, Amneh Abu Daqqa, 45, berkata, tidak ada gunanya lagi berpindah kerana serangan udara Israel berlaku di seluruh Gaza.

“Saya tidak mempunyai 500 shekel (RM581) untuk menyewa kereta yang ditarik keldai. Saya tidak tahu ke mana saya akan pergi. Tiada tempat yang selamat, terdapat serangan udara di mana-mana,” katanya. 
 

0/komen