Cip pemprosesan Intel Xeon secara lazimnya digunakan untuk tujuan perkomputeran di pusat data, seperti untuk pembelajaran mesin ataupun penyimpanan dan pemprosesan fail-fail multimedia. Terkini, Intel telah memperkenalkan cip pemprosesan Intel Xeon 6 yang terbaru mereka untuk membolehkan para pelanggan mereka untuk memfokuskan kepada keperluan mereka.
Apa yang unik mengenai cip pemprosesan Intel Xeon terbaru ini ialah Intel telah memperkenalkan teras “P” (Granite Rapids) dan “E” (Sierra Forest). Apa yang lebih menarik lagi ia bukanlah gabungan kedua-dua teras ini seperti pada cip Intel Core Ultra untuk pengguna, tetapi adalah cip yang terdiri daripada teras E ataupun teras P sahaja bergantung kepada pelanggan pusat data.
Intel Xeon 6 Granite Rapids akan tampil dengan semua teras “P” dan akan dimanfaatkan untuk tujuan kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan pemprosesan aritmetik yang memerlukan kuasa yang tinggi. Untuk Sierra Forest pula, cip pemprosesan ini akan menggunakan teras “E” untuk tugasan-tugasan yang menggunakan kuasa pemprosesan rendah seperti untuk tujuan penyimpanan dan penghantaran data multimedia untuk syarikat-syarikat multimedia seperti Netflix dan sebagainya.
Intel turut mengatakan bahawa cip pemprosesan Intel Xeon 6 terbaru ini bukan sahaja tampil dengan kuasa pemprosesan yang lebih hebat, tetapi mempunyai penggunaan kuasa yang lebih cekap juga. Setiap rak mesin pelayan yang menggunakan Intel Xeon 6 hadir dengan kuasa pemprosesan sama seperti tiga rak dengan mesin pelayan Intel Xeon generasi kedua, dan mempunyai penggunaan tenaga elektrik yang jauh lebih cekap.
Intel Xeon Sierra Forest sudahpun mula hadir di pasaran dengan pilihan untuk CPU dengan 288 teras E, manakala Intel Xeon Granite Rapids akan diperkenalkan sekitar suku ketiga tahun ini.
Catat Ulasan