Ismail Haniyeh Di Bunuh Pengganas Zionis


Kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengesahkan semalam bahawa serangan Israel di Tehran membunuh ketuanya, Ismail Haniyeh.

“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan ini meninggal dunia dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran),” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran sebelum itu menyatakan bahawa Ismail terbunuh di samping seorang daripada pengawal peribadinya.

“Ketua pejabat politik Hamas, Ismail Haniyeh diserang di Tehran. Akibat kejadian ini, beliau dan salah seorang pengawal peribadinya syahid,” kata kenyataan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran. 

Sebilangan tokoh kanan Hamas lain termasuk Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan kematian Ismail sebagai ‘pembunuhan’ dan berikrar untuk membalasnya. 

Kor Pengawal Revolusi Iran berkata, punca kematian Ismail masih belum jelas tetapi siasatan sedang dijalankan. 

“Ismail dilaporkan meninggal dunia selepas menyertai acara pelantikan presiden baharu (Iran), Masoud Pezeshkian yang mengangkat sumpah pada Selasa (semalam),” katanya.

Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kematian mengejutkan itu. 

Ismail, 62, merupakan ketua pejabat politik Hamas dan ahli terkemuka kumpulan itu pada hujung 1980-an. 

Beliau pernah dipenjarakan oleh Israel selama tiga tahun pada 1989, ketika Rejim Zionis membanteras pemberontakan Palestin yang pertama. 

Allahyarham juga dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin pada 2006 oleh Presiden Mahmoud Abbas, selepas Hamas memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya, sebelum dilucutkan jawatan setahun kemudian. 

Jenazah ketua Hamas, Ismail Haniyeh akan dikebumikan di Doha, Qatar pada hari Jumaat ini, sehari selepas upacara pengebumian awam di Tehran, kata kumpulan pejuang Palestin tersebut semalam.

“Upacara pengebumian awam jenazah Ismail akan diadakan di ibu negara Iran, Tehran esok( hari ini ),” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jenazah Ismail akan dibawa ke Doha pada hari yang sama.

Ujarnya lagi, solat jenazah akan diadakan di Masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, iaitu masjid terbesar di Doha selepas solat Jumaat.

Jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu negara Qatar tersebut.

Kenyataan Hamas menambah, majlis di Doha akan diadakan dengan kehadiran tokoh-tokoh dikenali serta penyertaan pemimpin Arab dan Islam.
 

0/komen