Light Phone 3 Dilancarkan


Peranti Android dengan skrin E-Ink bukanlah yang digemari ramai kerana kadar segar semula yang rendah, prestasi yang tidak pantas dan kurang berguna selain untuk membaca. Light memandang konsep telefon Android dengan skrin e-ink ini berbeza kerana menggunakan teknologi ini untuk sebuah telefon bimbit pintar. Terbaru mereka telah melancarkan Light Phone 3, selepas lima tahun Light Phone 2 diperkenalkan.


Light Phone 3 menjalankan sistem operasi LightOS yang dibina berasaskan Android. Walaupun Android, Light menjadikan LightOS ini sebagai sistem operasi yang sangat ringan kerana telah membuang banyak aplikasi. Ia hanya mempunyai fungsi sebuah telefon bimbit dengan sedikit ciri pintar seperti mengakses peta, menstrim muzik, kalendar dan menghalang pengguna memasang aplikasi.



Peranti generasi ketiga mereka ini menggunakan skrin petak 3.92-inci OLED e-ink, dijana dengan Snapdragon 4 Gen 2, dipadankan pula dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Peranti ini mempunyai port USB-C untuk pengecasan, pengimbas cap jari, sokongan eSIM, bateri boleh tukar, rekaan mudah baiki sendiri, NFC untuk pembayaran, serta mempunyai perlindungan IP54.

Light turut menyertakan kamera 50MP di belakang dan 8MP di hadapan yang tidak boleh dikongsi atau disunting, sebaliknya untuk memori dan juga mengimbas kod QR. Menariknya, peranti ini turut menyertakan tombol berputar di sisi untuk kawalan yang turut berfungsi sebagai butang pengatup kamera. Walaupun Light Phone 3 ini dikategorikan sebagai telefon bimbit. ia adalah sebuah peranti yang premium dengan harga jualan $799 (~RM3,761) atau $399 (~RM1,878) untuk pra-tempahan dalam tempoh terhad.


komen