Oppo telah melancarkan dua model terbaru dalam siri Reno12 iaitu Reno12 dan Reno12 Pro di pasaran Malaysia. Kedua-duanya memiliki reka bentuk yang hampir sama dengan memberikan fokus kepada keupayaan mod potret yang disulam dengan kuasa AI serta kapasiti bateri yang besar.
Oppo Reno12 Pro dan Reno12 berkongsi sebahagian besar spesifikasi dalaman yang sama. Kedua-duanya memiliki gabungan memori 12GB RAM dan storan sehingga 512GB. Ia dikuasakan menggunakan cip MediaTek Dimensity 7300 (4nm). Sementara itu saiz kapasiti bateri 5000mAh yang digunakan pula menyokong pengecasan berwayar SUPER VOOC 80W.
Saiz skrin juga sama iaitu AMOLED 6.7” FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz serta tahap kecerahan puncaknya boleh mencapai sehingga 1200nits. Kedua-dua tubuh model peranti ini melepasi piawaian kalis air IP65 dan dilengkapi dengan speaker stereo dan pemancar IR di bahagian atas. Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan Android 14, ColorOS 14.1, rangkaian 5G terbina dan banyak lagi.
Perbezaan yang diperlihatkan menerusi kedua-dua model ini ialah dari segi spesifikasi kameranya. Bagi Oppo Reno12 Pro, terdapat persediaan tiga kamera dengan kamera utama 50MP, OIS. Diikuti juga dengan sensor 50MP telefoto dan menyokong zum optikal sehingga 2X dan kamera ketiga pula ialah kamera ultra-lebar 8MP. Bagi kamera hadapan pula adalah sebesar 50MP.
Manakala, Oppo Reno12 pula turut memiliki persediaan tiga kamera tetapi dengan kemampuan lensa yang berbeza. Antaranya ialah, kamera lebar 50MP, 8MP untuk kamera ultra-lebar dan 2MP untuk kamera makro. Kamera hadapannya pula ialah 32MP.
Bersama-sama dengan pelancaran model baru ini, Oppo turut memperkenalkan beberapa ciri baru bersama kemampuan AI yang tersedia untuk menambaik lagi pengalaman penggunaan. Antaranya ialah ciri AI Clear Face yang menjadikan hasil tangkapan wajah lebih jelas dan realistik. Seterusnya ialah AI Best Face yang boleh memastikan semua subjek (individu) dalam gambar membuka mata.
Selain itu, Oppo juga mengemaskini ciri AI Eraser 2.0 yang boleh mengesan elemen atau objek yang tidak dimahukan dalam gambar dan menghilangkannya. Lebih menarik lagi, ciri AI juga digunakan untuk tambah baik pengalaman penggunaan dari segi teks dan pertuturan seperti AI Toolbox dan AI Recording Summary dan pelbagai lagi ciri AI menarik.
Selain itu, teknologi AI LinkBoost juga disertakan bersama untuk meningkatkan penerimaan isyarat dan mengoptimumkan peralihan rangkaian yang pantas berdasarkan kepada persekitaran pengguna. Bukan itu sahaja, OPPO juga telah memperkenalkan ciri BeaconLink untuk Reno12 dan Reno12 Pro bagi membolehkannya tetap dapat digunakan dalam situasi seperti penerbangan, pengangkutan tren di bawah tanah dan sebagainya tanpa sebarang masalah liputan rangkaian.
Pelbagai pilihan warna juga tersedia untuk setiap model peranti, antaranya ialah warna Matte Brown, Sunset Pinkdan Astro Silver untuk Reno12 manakala pilihan warna yang tersedia untuk Reno12 Pro ialah Nebula Silver, Sunset Gold dan Space Brown. Siri Oppo Reno12 kini boleh dibeli di stor atas talian rasmi Oppo di Shopee serta Lazada dan juga penjual rasmi produk Oppo di seluruh negara hari ini.
Di Malaysia, harga jualan bagi Reno12 ialah RM2199 (12GB + 512GB). Manakala, untuk versi yang lebih mercu iaitu Reno12 Pro pula ialah RM2599 (12GB+512GB) .
Catat Ulasan