Seorang wanita warga emas berduka setelah kehilangan barang kemas bernilai kira-kira RM9,000 ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital awam di bandar raya ini, bulan lalu.
Mangsa, P. Saroja, 63, berkata, dia merasa lebih terkilan kerana rantai emas seberat kira-kira 24 gram yang hilang itu adalah peninggalan mendiang ibu mentuanya.
Katanya, dia menyedari barang kemas itu serta wang tunai RM200 hilang pada pukul 3.30 petang ketika sedang menerima rawatan di bahagian kecemasan hospital berkenaan, 25 Julai lalu.
“Saya bukan sengaja memakai barang kemas ke hospital, pada awalnya saya hanya ke klinik kesihatan berhampiran rumah di Taman Universiti, di sini tetapi akibat masalah darah tinggi, saya terpaksa dibawa ke hospital.
“Hampir empat hari saya dalam keadaan tidak stabil sebelum menyedari kehilangan barang kemas dan wang,” katanya.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia juga dimaklumkan televisyen litar tertutup (CCTV) di hospital berkenaan tidak berfungsi.
“Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku terhadap pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang senang pesakit lain selain mencemar nama baik hospital terbabit,” katanya.
Katanya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini pada 1 Ogos lalu supaya kejadian berkenaan disiasat secara menyeluruh
Catat Ulasan