Seorang pengurus kewangan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM447,000 lebur selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan disertai menerusi tawaran iklan di media sosial.
Mangsa mahu dikenali sebagai Ken, 41, berkata, dia melihat satu iklan berkaitan tawaran pelaburan di Facebook pada 17 Mei lalu.
Dia yang tertarik menyertai pelaburan itu kemudian menghubungi seorang wanita dikenali sebagai Samanda yang tertera nombor telefonnya dalam iklan berkenaan.
"Samanda menawarkan saya untuk menyertai kelas pelaburan dianjurkan syarikat itu dengan yuran RM264 bagi belajar jual beli saham.
"Saya kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp yang dibimbing oleh seorang mentor," katanya.
Ken berkata, mentor itu kemudian memintanya memuat naik satu aplikasi jual beli saham yang menjanjikan keuntungan urus niaga antara 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pelaburan.
"Bagi tempoh 18 Jun hingga 29 Julai lalu, saya membuat beberapa transaksi sehingga RM447,000 ke empat akaun bank berbeza bagi pelaburan itu.
"Saya hanya menyedari ditipu selepas dimaklumkan perlu membuat pembayaran sehingga RM1.5 juta untuk mengeluarkan keuntungan sebanyak RM800,000 yang tertera dalam aplikasi itu," katanya yang membuat laporan polis.
Justeru, orang ramai di saran supaya rujuk sebarang pertanyaan kepada agensi berkaitan yang sah dan jangan sesekali tertipu dengan tawaran di media sosial yang kebanyakannya adalah penipuan.
Catat Ulasan