BenQ ScreenBar Pro Monitor Light Di Malaysia


BenQ ScreenBar Pro ialah lampu yang boleh diletakkan di atas monitor bertujuan memberikan pencahayaan tambahan. Ia boleh dianggap sebagai alternatif menarik kepada lampu meja bagi membolehkan pengguna melihat dengan lebih baik khususnya dalam ruangan yang gelap.



Antara ciri-ciri utama yang diketengahkan adalah kemampuan lampu ini memancarkan pencahayaan yang lebih luas berbanding lampu meja biasa. Ini menjadikannya sesuai digunakan untuk pelbagai ruang kerja yang termasuklah monitor yang lebar. Dalam masa sama mempunyai pelindungan cahaya biru untuk kesihatan mata pengguna serta imbasan anti kerlipan.



Terdapatnya sensor pengesanan ultrasonik terbina yang membolehkan lampu ini dihidupkan secara automatik sebaik sahaja terdapatnya individu dikesan dengan jarak 10cm daripada monitor. Kemudiannya dimatikan selepas lima minit apabila tiadanya pengguna yang dikesan bagi tujuan penjimatan. Kecerahan lampu turut boleh disesuaikan mengikut kesukaan serta kelesesaan masing-masing.


Pemasangan juga mudah melalui pengepit kukuh merangkap pemegang lampu yang boleh dipasang pada monitor dengan mudah tanpa mengganggu kamera, mikrofon atau pembesar suara pada monitor. Bagi yang berminat, BenQ ScreenBar Pro boleh dibeli dengan harga RM849 bermula 19 Ogos 2024 yang lalu.

0/komen