GPD ialah sebuah jenama elektronik dari Hong Kong yang terkenal untuk penawaran komputer riba dan juga konsol PC mereka. Terkini, dengan pelancaran siri cip pemprosesan AMD Ryzen AI yang terbaru, mereka nampaknya telah memperlihatkan komputer riba terbaru mereka, iaitu GPD Pocket 4.
Konsol ini hadir dengan paparan skrin 8.8 inci pada resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 144Hz. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI 9 HX370 dengan 12 teras fizikal, memori LPDDR5X sehingga 64GB dan juga penawaran storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB ataupun 4TB.
Dari segi penawaran palam input/output, ia dilengkapi dengan satu palam USB4 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 2.0 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu palam Ethernet RJ-45.
Keunikan komputer GPD Pocket hadir melalui sistem modularnya, dimana pengguna boleh memilih modul-modul tambahan untuk dipasangkan kepada komputer ini. Untuk model GPD Pocket 4 ini, modul yang ditawarkan termasuklah pembaca kad MicroSD, modul palam VGA dan modul suis KVM (Keyboard, Video, Mouse).
Rekaan padat komputer GPD Pocket ini sangat berguna sebagai sebuah komputer yang digunakan untuk memperbaiki pelbagai masalah berkaitan IT, tetapi kuasa pemprosesan yang hadir menjadikannya sebuah komputer riba yang setanding dengan model-model yang dua, tiga kali lebih besar berbandingnya.
Menurut beberapa laporan, GPD Pocket 4 ini akan dijual pada bulan Oktober 2024 ini di beberapa pasaran terpilih.
Catat Ulasan