Seorang lelaki di Hathras, negeri Uttar Pradesh terkejut apabila menemui rangka manusia milik bapanya yang hilang sejak 30 tahun lalu di rumah mereka.
Menurut polis tempatan, penemuan itu dibuat selepas mereka menggali tanah di anjung rumah mangsa yang disyaki dibunuh oleh dua anak lelakinya.
“Kami menghantar rangka itu untuk pemeriksaan forensik dan bersedia untuk menahan dua beradik tersebut bersama ibu mereka serta seorang lagi individu,” kata polis.
Anak bongsu daripada empat beradik itu, Punjabi Singh berkata, dia terdengar dua abangnya bertengkar dengan bapa mereka pada waktu malam sebelum mangsa hilang.
“Saya selalu tidur dengan bapa semasa kecil. Pada suatu malam, dua abang saya yang ketika itu berusia 20-an bersama seorang lelaki lain, mengarahkan saya untuk tidur di bilik lain."
“Saya tidak dapat tidur pada malam itu, jadi saya keluar dari bilik sebelum terdengar mereka bertengkar di bilik lain,” kata Punjabi.
Tambah Punjabi, dia menemui lubang yang baru digali di anjung rumah mereka pada keesokan harinya.
“Apabila saya bertanya kepada ibu saya, dia memberitahu bahawa bapa telah pergi ke suatu tempat,” tambahnya.
Dia kemudian menceritakan kejadian itu kepada salah seorang abangnya bernama Basti Ram. Kedua-duanya membuat laporan polis dan mendakwa bahawa bapa mereka dibunuh.
Catat Ulasan