Hidup ini tidak selalunya seperti yang kita rencanakan. Ada kalanya kita merasakan dunia tidak berpihak kepada kita, lalu hati mula resah dan kecewa. Namun, hakikatnya, setiap yang berlaku itu adalah takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sebagai hamba, kita tidak mampu menjangkau segala hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian dan dugaan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 216: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." Ayat ini menegaskan bahawa apa yang kita anggap tidak sesuai dengan keinginan kita mungkin adalah perkara terbaik untuk kita, kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya
Setiap ujian yang Allah SWT timpakan kepada kita pasti disertai dengan kebaikan, walaupun kita belum dapat melihatnya. Jangan terburu-buru menilai sesuatu sebagai buruk hanya kerana ia tidak memenuhi keinginan kita. Sebaliknya, latihlah hati untuk yakin bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya. Dia lebih mengetahui apa yang kita perlukan berbanding apa yang kita inginkan.
Sebagai manusia, kita sering kali lemah dan cepat mengeluh bila diuji. Namun, ketahuilah bahawa Allah tidak akan menetapkan sesuatu tanpa sebab. Maka, bersabarlah dan carilah hikmah dalam setiap ujian. Setiap kekecewaan pasti ada penawar, dan setiap kesedihan pasti ada kebahagiaan yang menanti. Percayalah bahawa Allah telah menyediakan takdir yang terbaik untuk kita semua.
“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.” (Surah At-Talaq: 3). Dalam setiap dugaan, letakkan kepercayaan kita kepada Allah SWT. Allah tidak pernah mengecewakan mereka yang bergantung harap kepada-Nya.
Ingatlah, setiap takdir yang Allah tetapkan pasti ada kebaikan yang terselindung di sebaliknya.
Catat Ulasan