Alat Kawalan Permainan Video Nintendo PlayStation Dilelong


Sony dan Nintendo sebagai dua syarikat pembuat konsol permainan video yang merupakan pesaing diantara satu sama lain. Tetapi tahukah anda bahawa kedua-dua syarikat ini pernah bekerjasama untuk membangunkan sebuah prototaip konsol permainan yang dinamakan Nintendo PlayStation Super NES CD-ROM.

Pada penghujung 1980an, Sony dan Nintendo telah bekerjasama untuk membangunkan sebuah aksesori tambahan untuk konsol Super Nintendo Entertainment System (SNES) yang menambahkan kebolehan untuk membaca cakera padat Super Disc yang dikeluarkan Sony.

Walaupun 200 prototaip aksesori konsol ini dibangunkan, sayangnya ia tidak pernah dipasarkan, dan begitulah terkuburnya idea konsol Nintendo PlayStation ini.

Pada awal tahun ini, sebuah konsol Nintendo PlayStation telah berjaya dilelongkan oleh Heritage Auctions pada nilai $350 ribu (~RM1.5 juta). Baru-baru ini, nampaknya alat pengawal permainan untuk konsol tersebut pula juga telah dilelong oleh syarikat yang sama pada nilai $35 ribu (~RM150 ribu).

Ini adalah kerana alat kawalan ini dilihat masih lagi berada dalam keadaan yang sangat baik dan masih boleh digunakan apabila disambungkan kepada konsol Nintendo PlayStation tersebut. Ia nampaknya hadir dengan rekaan alat kawalan Super NES yang sama, tetapi mempunyai label Sony PlayStation di muka alat kawalan ini.

Jika anda tidak tahu, konsol permainan Sony PlayStation mula dijual pada tahun 1994, beberapa tahun selepas prototaip konsol Nintendo PlayStation tersebut gagal dipasarkan oleh kedua-dua syarikat ini.

 

0/komen