Beg Plastik Hitam


Oleh: Abdul Jamil Abdul Rahman - Kuching, Sarawak

MASA itu adalah tahun keempat saya dan isteri mendirikan rumah tangga. Namun belum rezeki lagi kerana kami belum dikurniakan anak. Kami belum ada rumah sendiri dan tinggal di rumah sewa. Apa yang hendak saya ceritakan ini adalah berkenaan rumah sewa kami. 

Rumah sewa kami adalah teres dua tingkat dan terletak di lot tepi. Ada sedikit tanah untuk kami tanam pokok bunga, sayur dan ulam-ulaman. Kebetulan saya dan isteri memang suka bercucuk tanam. Jadi, kalau kami tidak ke mana-mana setiap hari Sabtu dan Ahad, atau hari cuti, kawasan tanah yang kosong itulah 'syurga' kami.

Sebenarnya ada sesuatu yang menarik tentang rumah itu. Rumah kami sering 'dikunjungi' seorang anak kecil. Kami agak umurnya dalam lingkungan setahun lima bulan. Budak itu sudah pandai berjalan dan memberi respons apabila diagah.

Yang mula-mula perasan tentang kehadiran anak kecil itu adalah isteri saya.

Pada masa itu, dia sedang menonton TV di ruang tamu. Saya pula sedang solat Isyak di bilik.

Hari itu isteri saya terdengar ada suara anak kecil menangis. Agak lama juga suara anak itu menangis sebelum diikuti dengan suara rengekan. Oh, itu mungkin suara anak jiran-jiran sekeliling, fikir isteri saya.

Namun bila isteri saya fikirkan semula, setahu dia, tiada jiran kami yang mempunyai anak kecil. Paling kecil pun dalam lingkungan empat ke lima tahun.

Isteri memberitahu saya apa yang dia dengar itu. Saya dengar saja apa yang diceritakannya tetapi agak ragu-ragu. Pada saya, tak mungkin ada suara tangisan dan rengekan anak dalam rumah saya. Kalau betullah, takkan saya tak dengar?

Saya berandaian, mungkin isteri saya terlalu inginkan anak agaknya, sebab itulah dia terdengar-dengar suara anak kecil menangis dan merengek. Jadi, ceritanya itu saya abaikan begitu saja.

SUATU MALAM ketika sedang membaca dan isteri sedang melipat kain, saya lihat dia seolah-olah khusyuk mendengar sesuatu. Dia berhenti melipat seketika.

"Dengar apa?" saya tanya kepadanya.

Isteri saya tak jawab. Dia membuat isyarat supaya senyap. Dengan suara yang seakan berbisik, dia minta saya memasang telinga.

Apa yang saya dengar? Saya dengar suara anak kecil, sayup-sayup menangis dan kemudian merengek. Inikah suara yang isteri saya dengar sebelum ini? Dari mana punca suara itu? Adakah dari rumah saya sendiri? Dari nada tangisan dan rengekan itu, nampaknya memang dari dalam rumah saya.

Ketika itu barulah saya percaya apa yang dikatakannya sebelum ini. Rupa-rupanya, selama ini sangkaan terhadapnya adalah salah.

Tapi macam mana anak kecil boleh rumah saya? Pelik juga bila difikirkan. 

Suatu petang ketika saya dan isteri sedang duduk di dapur menikmati pisang goreng yang baru dibeli, kami dikejutkan dengan kehadiran seorang anak kecil dalam lingkungan umur yang saya sebutkan awal tadi. 

Anak itu berdiri di tepi sliding door di sebelah luar ruang tamu. Kami boleh nampak kerana langsir sliding door itu tersingkap ke tepi. Anak perempuan itu memandang ke arah kami.

Anak siapakah itu? Kami bangun dan bergegas menuju ke sliding door. Kami cari anak tadi. Anehnya, tak ada! 

Saya andaikan mungkin anak itu sudah keluar dari kawasan rumah kami kerana pintu pagar rumah ternganga sedikit. Kami pun silap juga. Sepatutnya, seorang daripada kami pergi meninjau anak itu, dan seorang lagi memerhatikannya dari arah dapur. Maknanya pergi seorang demi seorang. 

Kalau seorang daripada kami yang tinjau dulu, bolehlah seorang lagi terus perhatikan anak itu dari arah dapur. Ini kerana, kalau berjalan dari arah dapur ke arah sliding door itu, tembok bilik air menghalang penglihatan kami ke bahagian luar rumah.

Bila melepasi tembok bilik air, barulah kami boleh nampak sliding door itu semula. Ketika kami berjalan melalui tepi tembok bilik air itulah, mungkin budak tersebut menghilangkan diri. Habis nak buat macam mana, dah tersilap percaturan!

Kami tidak mengesyaki apa-apa tentang anak perempuan yang masuk ke kawasan rumah itu. Dia mungkin anak saudara-mara jiran. Budak-budak, biasalah, merayau-rayaulah kalau dilepaskan bebas bermain.

Walaupun demikian, kami musykil, mengapa anak kecil yang baru pandai berjalan itu dibiarkan
merayau-rayau? Itu satu hal. Satu hal lagi, macam mana anak sekecil itu boleh keluar dari kawasan rumah kami dengan kadar yang agak cepat? Semuanya agak membingungkan!

PADA SUATU hari Sabtu, ketika sedang menajak-najak rumput di tepi rumah, antara jelas dan tidak, saya terdengar suara tangisan anak kecil. Dari manalah pula datangnya suara itu? Saya pasang telinga lagi. Betul, memang ada suara anak kecil!

"Takkanlah sampai macam tu sekali, bang!" suara isteri terus mencantas kekhusyukan saya mendengar suara rengekan anak tadi.

Apabila suara rengekan diganggu oleh suara isteri, ia terus hilang. Saya terangkan kepada isteri apa yang baru saya dengar tadi. Dia terkejut. Kalau isteri saya terkejut, saya sebenarnya lagi terkejut dengan apa yang isteri cerita kepada saya.

Sebenarnya, sebelum isteri saya menegur "takkanlah sampai macam tu sekali", dia terlihat seorang anak perempuan kecil berdiri kira-kira tiga meter di depan saya. Benar, anak itu hanya berjarak tiga meter saja! 

Masalahnya, kenapa saya tak nampak, sedangkan dia betul-betul di hadapan saya?

Saya bertanyakan isteri, ke mana anak perempuan itu setelah dia menegur saya tadi? Kata isteri, semasa dia menegur saya, anak itu memang ada tercegat di situ.

Kemudian dia memalingkan muka sebentar ke dalam rumah kerana ada bunyi bising. Rupanya cawan plastik yang diletakkan di atas meja, terjatuh ditiup angin.

Isteri saya toleh ke arah cawan itu kira-kira dua tiga saat saja. Namun bila dia paling semula ke arah saya dan anak kecil itu, anak itu sudah hilang. Memang pelik, bukan?

Setelah beberapa kali terdengar suara tangisan, rengekan, dan melihat anak perempuan itu, agak lama juga rumah kami tidak dikunjungi oleh 'tetamu' tersebut.

Saya tak pernah ceritakan semua ini kepada sesiapa. Hanya isteri saja yang bercerita kepada adik-beradiknya dan ipar-duai saya. Respons mereka mudah saja, mungkin disebabkan terlalu sangat inginkan kehadiran anak, sebab itulah kami sering diganggu oleh emosi berkaitan anak-anak.

Mereka kata apa yang berlaku hanyalah ilusi saja. Ilusi kami saja? Bagi yang tidak mengalaminya, bolehlah kata macam itu. Tapi bagi saya dan isteri, ia kenyataan.

SUATU PETANG Sabtu, saya membersihkan kawasan 'syurga' itu untuk menanam anak pokok pisang tanduk. Kalau hendak menanam anak pisang, tanah perlu digali agak dalam, supaya umbi dan akarnya benar-benar terbenam.

Ketika menggali, saya nampak ada seperti beg plastik hitam tertanam di dalam tanah. Saya panggil isteri. Dia datang, tapi setakat hingga ke sliding door saja. Saya sambung menggali.

Dua tiga kali mencangkul, jelaslah apa yang saya gali itu adalah beg plastik sampah hitam besar. Tanamlah lama mana pun kerana beg plastik itu tak mungkin hancur kerana ia daripada bahan yang non biodegradable, yang tak akan hancur. Tidak mesra alam.

Tapi mengapa beg itu ada di dalam tanah? Ada sesuatukah di dalamnya?

Saya terhenti seketika apabila mula curiga apa kandungan di dalam beg plastik hitam besar yang sekarang separuh tertanam itu. Saya tarik perlahan-lahan sehingga keseluruhannya keluar dari tanah.

Isteri yang hanya tercegat memerhatikan saja dari tadi, terus datang dekat ke arah saya. Dia pun teruja nampaknya. Perlahan-lahan saya membukanya. Apa yang ada di dalamnya adalah kain batik yang sudah separuh hancur membaluti sesuatu.

"Bang... macam tulang aja, bang!" kata isteri saya. Biar betul ni! Saya buka kain batik itu lagi. "Iyalah bang... tulang!" jerit isteri saya agak kuat.

Sergahan kuat itu membuatkan saya benar-benar terkejut. Sah, memang tulang! Serentak itu juga kain batik tadi saya lepaskan.

Memang betul, kandungan di dalam kain batik itu adalah tulang! Berdasarkan bentuk dan ruasnya, saya yakin ia adalah tulang manusia!

Meremang bulu roma bila memikirkan ia adalah

tulang manusia. Daripada bentuknya, ia adalah milik anak kecil! Memang kami yakin itu tulang anak kecil. Saya tak berani nak buka kain batik itu sampai habis walaupun dicadangkan oleh isteri. Cukuplah! Saya seram! Kalau buka sampai habis, sudah tentu saya akan jumpa tengkoraknya pula.

Saya menutup semula kain batik dan beg plastik itu. Saya beritahu jiran dan menelefon polis. Sementara menunggu polis dan anggota forensiknya datang, saya dan isteri mula terfikir sesuatu.

Apakah tulang-tulang itu ada kaitan dengan anak kecil yang bertandang ke rumah saya selama ini? Seram sejuk bila mengenangkan itu semua.

Kalau betullah telahan kami itu, siapa yang menanamnya? Kenapa ia ditanam di kawasan rumah kami? Apakah punca kematian anak itu? Adakah dia mati kerana menghidap sesuatu penyakit atau mati dibunuh? Kalau dibunuh, siapa pembunuhnya?

Pendek kata, macam-macam soalan yang bermain di kotak fikiran kami. Isteri saya mula menggelabah. Dia ajak saya cari rumah lain. Dia tak mahu tinggal di rumah yang 'berhantu'.

Mulanya saya tak mahu. Bukan senang nak cari rumah dengan sewa yang agak murah berbanding rumah-rumah lain di kawasan ini. Apa lagi rumah itu mempunyai kawasan untuk bercucuk tanam!

Bagaimanapun, empat hari selepas peristiwa itu, kami berpindah ke tempat lain, tetapi dalam daerah dan negeri yang sama. Saya lakukannya kerana kasihankan isteri.

Sekarang ini, kami menetap di Sarawak atas urusan kerja. Kami tak mahu ambil tahu tentang rumah itu lagi. Sampai sekarang pun kami tak dapat jawapan yang tepat tentang misteri tulang dan anak kecil itu.

Setelah hampir sembilan tahun peristiwa tersebut berlalu dan 13 tahun berumah tangga, kini kami sudah mempunyai tiga orang anak, dua daripadanya lelaki, kembar seiras. Syukur alhamdulillah!

 

0/komen