Bila Senang, Lupa Tuhan


Ada segelintir manusia yang sangat yakin akan kebesaran Allah ketika berdoa. Mereka percaya Allah Maha Mendengar, sentiasa memakbulkan hajat. Namun, ketika bermaksiat, seolah-olah Allah tidak wujud. Mereka hidup dalam keadaan yang memisahkan Tuhan dari hati mereka, seakan-akan Allah tidak melihat segala perlakuan mereka.

Begitulah tabiat manusia. Bila terdesak, penuh rayu-rayu memohon. Dalam setiap helaan nafas, mereka mencari Allah, siang dan malam. Tetapi apabila kesenangan datang, Allah dilupakan. Masjid yang dulunya disinggahi kini tinggal bayang-bayang.


Allah telah mengingatkan kita tentang sikap ini dalam al-Quran:

"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata."
(Surah al-Hajj: 11)

Hakikatnya, inilah kerugian yang amat besar – rugi dunia dan akhirat. Mereka yang hanya mencari Allah ketika memerlukan tetapi melupakan-Nya ketika senang, terjerumus dalam perangkap jiwa yang goncang.

Jadilah hamba yang setia. Janganlah kita hanya ingat kepada Tuhan bila terhimpit kesusahan. Allah sentiasa ada, mendengar dan melihat, sama ada dalam kebaikan mahupun keburukan. Ingatlah, keberkatan hidup hanya akan datang jika kita konsisten dalam ketaatan, bukan hanya ketika kita menginginkan sesuatu.

0/komen