
Oleh: Shazmira Shahuddin, Sungai Petani, Kedah
BENARKAH ada makhluk lain yang menghuni sesuatu objek? Orang kita namakan, penunggu. Kononnya, penunggu itu adalah syaitan ataupun jin yang tinggal di objek tersebut, seperti pokok, keris, tiang seri rumah, rumah lama dan sebagainya.
Penunggu itu pula ada yang datang sendiri dan ada yang dimiliki atau diwarisi oleh seseorang.
Anda percaya? Saya pun sukar hendak mempercayainya, tetapi suatu kejadian yang berlaku pada Mac 2011 sememangnya suatu misteri. Barangkali ia ada kaitan dengan apa yang saya katakan tadi.
Hari itu seperti hari-hari yang lain saya sibuk dipejabat dengan kerja yang menimbun di meja. Saya bekerja di bahagian pemasaran di sebuah syarikat perumahan, jadi saya banyak terlibat dengan membuat brosur dan pengiklanan.
Banyak deadline yang perlu dikejar, banyak juga kerja-kerja tertunggak yang perlu saya follow-up.
Waktu sibuk menyudahkan kerja-kerja itu, tiba-tiba telefon di atas meja saya berdering. Apabila diangkat, kedengaran suara anak perempuan saya di hujung talian.
"Ma... Iffa demam..." suaranya lemah. Saya menggetap bibir, demam pula dia. "Dah makan ubat?" saya bertanya sambil tangan menyusun dokumen-dokumen di atas meja.
"Dah, nanti kita ke klinik ya, rasa sakit sangat ni..." dia menyambung.
Tepat saja pukul 6.30 petang saya pun bergegas keluar dari pejabat. Sepanjang perjalanan pulang tidak pula saya merasa cemas kerana Iffa telah biasa demam begitu, sekejap demam sekejap kebah.
Sesampai saja di persimpangan jalan di mana lampu isyarat ke Semeling, saya sempat mengerling ke arah kiri jalan.
Di situ terletaknya gerai yang selalu menjadi tempat persinggahan suami saya untuk minum dan bermain sepak takraw bersama rakan-rakannya.
Di belakang gerai itu, terdapat sungai paya bakau yang sedang dikorek. Kata suami saya, ada cadangan dari tuan tanah yang hendak menambah bilangan kedai di kawasan tersebut.
Sesampai di hadapan pintu pagar rumah, remang senja di dada langit menjadikan keadaan berbalam-balam. Saya memasuki rumah, sunyi sahaja keadaannya.
Saya bergerak ke meja makan, terdapat satu nota di atas meja: 'Ma, Izzat pergi surau.' Itu nota anak kedua saya yang berusia 12 tahun. Suami saya pula masih di tempat kerja.
Saya memandang ke arah bilik utama, terlihat cahaya lampu di bawah regangan pintu. Saya percaya Iffa sedang tidur di dalam bilik utama itu, selalunya itulah yang dilakukan apabila dia demam.
Saya mula menuju ke kabinet dapur, kemudian menuang air dan minum perlahan-lahan. Lenguh terasa apabila seharian menghadap komputer di pejabat.
Tiba-tiba sayup-sayup saya terdengar suara tangisan yang sayu. Pada mulanya saya tak ambil peduli, sebab merasakan itu adalah suara televisyen di ruang tamu yang sedang ditonton oleh anak bongsu, yang baru saya ambil dari rumah pengasuh.
Namun tangisan itu menyusup lagi ke pendengaran, kali ini lebih kuat dan hiba. Saya mula terasa gusar.
Biar betul apa yang saya dengar ni? Hati saya bertanya dalam getar.
Saya berjalan menuju ke arah bilik utama, tangisan itu makin kuat. Rupa-rupanya suara tangisan Iffa. Saya membuka pintu bilik dengan segera.
Saya melihat dia bersembunyi di bawah selimut tebal dengan mata yang bengkak sambil tangannya menunjuk ke arah pintu bilik air di dalam bilik utama itu.
"Ma, halau dia... halau dia!" Iffa terketar-ketar menunjukkan ke arah pintu bilik mandi. Matanya merah basah dengan air mata. Mukanya pucat.
Saya terkejut, nak halau apa pula? Saya memandang ke arah pintu tandas namun tiada apa di situ. Apa yang Iffa nampak agaknya?
Saya membuka selimut tebal itu. Iffa berpeluh-peluh, seluruh tubuhnya menggeletar. Saya tidak pernah melihat dia setakut itu.
"Apa yang Iffa nampak?"
Dia terdiam, nafasnya turun naik dengan kencang.
"Tadi lepas Asar Iffa tidur, bila terjaga nampak satu benda berselubung hitam di hujung kaki Iffa," jawabnya terketar-ketar.
Benda apa, saya bertanya.
Menurut Iffa, dia tidak tahu kerana seluruh tubuh lembaga itu berselubung hitam. Ia mencangkung dan menundukkan muka. Lembaga itu bagaimanapun ghaib apabila Iffa membaca ayat Kursi.
Iffa menyambung semula tidur, namun apabila terjaga, lembaga hitam itu muncul semula. Ia mencangkung depan pintu bilik air sambil menghulurkan tangannya kepada Iffa...
"Di atas tangan lembaga hitam itu ada benda bersinar. Iffa tak tahu apa... Iffa takut sebab itulah Iffa suruh mama halau dia," jelas anak gadis saya yang berusia 15 tahun itu sambil menangis teresak-esak.
Saya menarik nafas panjang, antara percaya dan tidak. Saya merasa dahinya dengan belakang tangan. Panas sekali, mungkin suhu badan yang panas ini membuatkan dia meracau dan nampak yang bukan-bukan.
Selepas solat Maghrib saya menghantar Iffa ke hospital pakar dan dimasukkan ke wad memandangkan suhu badannya yang panas mungkin boleh membahayakan.
Setelah selesai urusan saya pun pulang ke rumah. Cerita makhluk berselubung hitam itu masih berlegar-legar di minda. Saya cuba mencari jawapan yang logik namun buntu.
Pelik, sudah lapan tahun berpindah ke rumah ini, saya tidak pernah diganggu. Namun saya perasan seminggu sebelum Iffa demam, dia ada memberitahu ternampak kelibat lembaga putih lalu di hadapan rumah kami.
Selain itu, Iffa juga nampak kelibat lelaki tua berjalan terbongkok-bongkok di dapur rumah. Apabila dilihat kali kedua, kelibat itu hilang serta-merta. Yang peliknya hanya Iffa seorang saja yang nampak.
Sebelum tidur saya menghubungi Iffa. Kata anak gadis saya itu, dia sedang dimasukkan air ke badan dan telah makan ubat. Dia letih dan ingin tidur segera.
ESOKNYA SAYA dan suami berkereta untuk melawat Iffa. Dalam perjalanan, suami saya menghentikan kereta di lampu isyarat yang terletak betul-betul di simpang tempat kerja-kerja mengorek sungai dijalankan.
"Di situkah tempat orang yang jumpa udang ketak tu, bang?" saya bertanya bila teringatkan udang ketak berwarna merah yang dibawa pulang oleh suami seminggu yang lalu. Dia mengangguk.
"Di situ juga kami jumpa gelas tembaga," kata suami sambil terus memandu kereta apabila lampu isyarat bertukar hijau. Gelas tembaga? Saya terkejut, gelas apa pula?
Lantas saya teringatkan lembaga yang menghulurkan tangannya kepada Iffa dengan benda yang bersinar.
"Gelas apa bang? Di mana abang simpan?" saya mendesak dengan dada yang berdebar antara takut dan ingin tahu.
Menurut suami, gelas tembaga itu sudah sumbing dan mungkin sudah berusia lebih seratus tahun. la dijumpai seseorang berhampiran tempat kerja-kerja mengorek sungai paya bakau itu dijalankan.
"Orang tu kemudian bagi gelas tu pada abang. Abang basuh gelas tu, dan simpanlah buat kenangan. Mana tau boleh jadi barang antik," jawabnya separuh bergurau.
Jantung saya bagaikan berhenti berdegup mendengar penjelasannya. Darah saya berderau. Tanpa berlengah, saya terus menyuruh suami membuang gelas tembaga sumbing itu.
Kata saya, mungkin gelas itulah yang Iffa nampak bersinar di atas tangan makhluk hitam tersebut. Selagi gelas tersebut tidak dipulangkan, selagi itulah ia mengganggu Iffa.
Raut muka suami saya serta-merta berubah. Dia mengangguk setuju dengan cadangan saya. Sebaik saja memasuki kawasan parkir hospital pakar, suami saya terus meletakkan kereta.
Dia turun membuka bonet kereta dan saya menurutinya. Dari dalam sebuah kotak suami mengeluarkan satu benda berbungkus dengan kertas surat khabar.
Saya membukanya dengan berhati-hati. Gelas tembaga buruk itu saya teliti. Ia telah sumbing, kelihatan lusuh dimakan masa dan kesan lama terendam di dalam air.
Gelas tembaga itu berukir indah dengan corak daun serta tulisan Arab. Dan... apa yang mengejutkan saya adalah pada tulisan Arab yang telah terhakis itu, salah satu ayatnya dieja nama 'Iffa'!
Saya tidak dapat mengaitkan kejadian makhluk yang mengganggu Iffa dengan tulisan yang jelas namanya ada terukir.
Namun saya percaya selagi gelas berkenaan berada dalam simpanan kami, maka selagi itulah ia akan kembali kepada anak kami itu.
"Abang, tolong pulangkan gelas ini ke tempatnya," saya menghulurkan kembali kepada suami. Air mata saya bergenang. Bagaimana nama Iffa boleh terukir pada gelas tembaga itu? Apakah sejarah gelas tersebut sehingga ia dibenamkan di dasar sungai berlumpur itu?
Adakah kerana nama Iffa ada pada gelas tersebut, menyebabkan dia nampak makhluk-makhluk itu? Yang nyatanya, setelah gelas itu dikembalikan ke sungai, Iffa tidak lagi melihat kelibat-kelibat ganjil.
Saya bukan kata saya takut kepada hantu dan syaitan. Tidak. Sebab makhluk itu sentiasa mahu menyesatkan kita.
Tetapi saya percaya setiap yang ada di dunia ini ada pemiliknya, jadi kita janganlah sesuka hati mengambil barang yang bukan milik kita.
Itu pandangan saya. Bagaimana dengan anda?
Catat Ulasan