Hantu Bukit Bauk


Kisah ini berlaku semasa pulang ke Terengganu bercuti semester. Zaman itu, masih belum ada Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Jalan lama menjadi lebuhraya setia untuk orang Terengganu balik ke kampung.

Aku dan Pojie sepakat nak balik sekali, lagipun Pojie tak ada teman nak drive sorang-sorang. Aku bercadang awalnya nak balik siang hari, tapi Pojie suka drive malam.

Pojie tanya aku, "Dil, nak lalu Jabor ke Cherating?" "Aku pilih Cherating, kereta banyak, apa-apa hal senang mintak tolong," kata aku. Muka Pojie menampakkan ekspresi macam mahu lalu Jabor.

Aku tahu lalu Jabor cepat sampai. Tapi itu jalan kelapa sawit di kiri kanan. Tak ada kereta yang lalu.

Masa memasuki Karak, aku dah mula berborak rancak dengan Pojie, aku tak mahu dia mengantuk dengan fikirkan puaka di Karak. Kami pasang lagu kuat kuat.

Sedang kami berborak, aku sempat tengok kiri dan kanan cermin sisi takut-takut ada benda menumpang. Jam dah 11:30 malam. Sunyi bukan kepalang jalan lama tu.

Sebenarnya masa tahun sebelum tu aku dah pernah kena sekali di kawasan sini. Tapi aku tak penah cerita ke Pojie walaupun dia ni hati kering.

Alhamdulillah sepanjang jalan kat Karak tu kami tak menghadapi benda-benda bangang yang boleh buat kami berak dalam seluar.

Cuma sesekali rasa macam seriau. Kami berhenti di Temerloh dekat jambatan Sungai Pahang untuk segarkan mata dan basuh muka.

Kami teruskan perjalanan. Cuma kali ni aku tetidur. Aku terjaga masa nak masuk mukim Dungun. Itu pun Pojie kejutkan sebab dia sangap. Aku cucuh rokok bukak tingkap, masa inilah Pjoe menjerit.

"TUTUP TINGKAP DILLLL!! TUTUP TINGKAP!!!!!! ALLAHUAKBARRR ALLAHUAKBAR!!!" Aku punya kaget, tak sempat nak buat apa-apa.

Aku pandang sebelah, tingkap aku tutup. Tapi, apa yang aku nampak? Ya, selaju kereta kancil Pojie tu, benda tu tengah ikut tepi tingkap sebelah aku.

Aku pejamkan mata. Dalam mata pejam aku pesan pada Pojie jangan ikutkan hati, kawal diri. "Kita boleh terbunuh ni Pojie kalau kita ikutkan takut," Pojie diam.

Sebelah tingkap aku cuma bunyi suara "dia", "kheeehhhhhhhh... kheeeeehhhhhhhh...". Sumpah, aku tak pandang langsung ke kiri.

Cuma masa dalam keadaan kelam kabut tu aku tahu benda tu perempuan dan berwarna lebam. Aku tak tahu macam mana nak ceritakan rupa bentuk dia.

Aku nampak Pojie masih bernafas dengan kuat. Aku tahu dia ketakutan tapi aku puji keberanian dia kawal keadaan. Kalau tak, ke gaunglah kami.

Sepanjang perjalanan dari tempat kejadian tu atau nama tempat tu Bukit Bauk, kami diam bungkam, tak cakap apa-apa. Pojie aku nampak dalam kebingungan.

Ketika masuk bandar Dungun, barulah kami cari kedai, berhenti minum dan bercerita pasal tadi. Pojie cakap dia rasa lain macam dah awalnya. Kata Pojie, dari Karak lagi dia dah rasa.

Cuma benda tu tak betul-betul tunjukkan diri macam masa sampai di Bukit Bauk. Bukit Bauk ini keras. Aku tanya Pojie, "masa kau jerit, apa yang kau pikir?" Pojie diam lama, dia pandang aku, dia tunduk.

Pojie pandang aku, "Dil, masa kau bukak tingkap "benda" tu dah meluru ke arah kau, tangan dia dah ke arah kau, tu pasal aku jerit.." Aku sapu muka berkali-kali.

Kes ini sebijik macam mak angkat aku kena di Nyalas, Melaka. Benda tu sempat sapa muka mak angkat aku. Mengucap panjang waktu tu. Aku dengan Pojie rehat sampai subuh.

Lepas subuh, kami sambung perjalanan ke Kuala Terengganu. Bukit Bauk, kau dah banyak makan orang.


0/komen