Intel telah memperlihatkan siri cip pemprosesan mesin pelayan Sapphire Rapids (Intel Xeon generasi ke-4) mereka pada awal tahun 2023, dan kini, tidak lama selepas memperkenalkan siri cip pemprosesan Granite Rapids dan Sierra Forest, mereka nampaknya telah mengemaskini cip pemprosesan lama mereka dengan Sapphire Rapids Refresh.
Cip-cip pemprosesan Sapphire Rapids Refresh terdiri daripada dua siri, iaitu Intel Xeon W-2500 dan Intel Xeon W-3500 yang tampil dengan penawaran 26 sehingga 60 teras fizikal dan memakan sebanyak 385W TDP.
Siri cip pemprosesan Intel Xeon W-2500 dilihat hadir dengan penawaran jumlah teras dari 26, 22, 18, 14, 12, 10 dan 8 teras dan menyokong memori DDR5-4800 dan 4400 bergantung kepada model, sehingga jumlah 2TB.
Siri cip pemprosesan Intel Xeon W-3500 pula tampil dengan penawaran jumlah teras dari 60, 44, 32, 28, 24, 20 dan 16. Sama seperti Intel Xeon W-2500, siri cip pemprosesan ini juga tampil dengan sokongan untuk memori DDR5-4800 dengan jumlah memori sebanyak 4TB.
Dalam pada itu, Intel turut mengesahkan bahawa cip-cip pemprosesan Sapphire Rapids Refresh ini juga akan menyokong papan induk Intel W790 yang diperkenalkan untuk siri cip pemprosesan Intel Sapphire Rapids sebelum ini.
Intel mengatakan bahawa cip-cip pemprosesan ini dimanfaatkan untuk tujuan memproses data-data besar, menyimpan media yang akan digunakan untuk tujuan penstriman, mengolah grafik 3D pada skala besar dan sebagainya.
Cip pemprosesan ini sudah boleh dibeli oleh syarikat-syarikat korporat pada harga bermula USD $609 / RM 2619 untuk CPU Intel Xeon W3-2525 sehinggalah USD $5889/ RM 25334 untuk model Intel Xeon W9-3595
Catat Ulasan