Lelaki ‘Parang’ Lampu Isyarat


Lelaki yang tular merosakkan beberapa ‘cover’ lampu isyarat menggunakan parang petang kelmarin berjaya ditangkap polis di sebuah pondok berdekatan Pantai Seaview Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, pihaknya telah mengesan video yang  tular  kira-kira pukul 3.45 petang kelmarin.


Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 petang di sebuah persimpangan lampu isyarat dari Kampung Arab, Shell Gate menghala ke Kampung Gelam.

“Bertindak atas maklumat, pada pukul 4.45 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan ke atas suspek di sebuah pondok berdekatan Pantai Seaview Port Dickson.

“Suspek berusia 39 tahun, tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kesalahan jenayah. Hasil ujian saringan air kencing suspek didapati negatif,” katanya.

Katanya, polis turut merampas senjata, kenderaan dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata berbahaya (ABKLSB) 1958.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson untuk proses tahan reman.
 

0/komen