Nenek Dan Suraya



SAYA, Lia dan Ida masih rancak berbual. Sedangkan, lampu di dorm asrama sejak pukul 11.00 lagi sudah ditutup. Bagi kami, berbual di dalam gelap lebih menyeronokkan.

Lebih suspens dan tak ada sensor-sensor sangat. Nak cerita apa, cerita saja, tak perlu malu-malu.

Malam itu, banyak kisah yang kami ceritakan. Dari bab pelajaran hinggalah kepada bab kekasih. Anda pun tahu, remaja berusia 17 tahun yang baru hendak meningkat dewasa memang begitu, kan? Seronok apabila bercerita bab kekasih.

Sedang rancak berbual, kami ternampak teman satu dorm, Suraya, yang tidur selang beberapa katil, tiba-tiba bangun. Suraya kemudian menonong keluar dari dorm.

Kami berasa pelik. Dia hendak pergi mana? Saya, Lia dan Ida kenal sangat dengan Suraya. Dia ni memang penakut.

Hendak ke tandas pun pasti berteman. Tetapi kali ini dia keluar sendirian. Dalam gelap pula tu. Pelik...

Ida segera bangun, dia mengintai ke mana Suraya pergi. Dengan bantuan cahaya lampu di kaki lima asrama, dia melihat Suraya berjalan meluru menuruni tangga.

"Woi! Mari sini! Cuba kau orang tengok, ke mana Aya nak pergi tu," Ida memanggil kami.

Kami terus keluar untuk memerhati Suraya. Tidak sampai lima minit, kami lihat Suraya sudah berada di padang, kira-kira 50 meter dari asrama.

Kami menggaru kepala. Pelik, bagaimana Suraya boleh keluar dari bangunan asrama. Padahal pada waktu malam begini, pintu tangga bawah telah dikunci oleh warden.

Takkan warden terlupa nak kunci pula. Tak logik. Suraya buka mangga itu sendiri? Lagi tak masuk akal. Dia bukannya ada kunci mangga tu.

Malah masa keluar dari dorm, kedua-dua belah tangannya kosong, tidak bawa apa-apa. Lagipun, kami tak dengar langsung bunyi mangga dibuka.

Bulu roma mula meremang. Kami terus memerhati ke mana Suraya pergi dan nampak Suraya berjalan ke arah bengkel lama di sebelah asrama.

Bangunan itu dikatakan keras. Dahulu ada pelajar yang mati di situ selepas dirogol dan dijerut lehernya oleh dua orang pengawal keselamatan.

Sekali lagi kami berpandangan sesama sendiri. Selama ini tidak ada seorang pun yang berani pergi ke tempat itu di kala malam begini. Sekarang, apa yang Suraya cari di bengkel tersebut?

Kalau dia ada tertinggal barang di situ, kenapa tak ajak kami? Atau, ada seseorang sedang menunggunya di sana? Kalau ada, kenapa tidak beritahu kami sebab memang bahaya kalau berjalan seorang diri dalam gelap-gelap begini.

"Macam mana, wei! Nak buat apa ni?" tanya saya. Kami membuat keputusan untuk memberitahu warden iaitu Cikgu Syuhada. Tanpa berlengah, kami berlari ke biliknya dan menceritakan segala yang berlaku.

Pada mulanya, Cikgu Syuhada tidak percaya. Namun setelah melihat Suraya tiada di katil dan pintu tangga bawah pun masih terkunci, dia segera memanggil warden cikgu lelaki dan juga pegawal keselamatan asrama.

Beberapa orang kawan yang sedar apa yang sedang berlaku, datang mendapatkan kami. Mereka juga risaukan Suraya. Kami semua bergerak ke bengkel lama tersebut.

Sampai di situ, suasana sungguh gelap. Tidak nampak kelibat sesiapa pun di bengkel berkenaan. Kami memanggil-manggil Suraya, namun tiada sahutan.

Kami mencari di sekitar bengkel lama itu, tetapi setelah hampir dua jam mencari, kelibat Suraya tidak juga kelihatan.

Akhirnya, memandangkan waktu sudah terlalu lewat dan subuh akan masuk dua tiga jam lagi, warden membuat keputusan untuk menghentikan sementara usaha itu.

SEKITAR PUKUL 7.30 PAGI, Cikgu Syuhada menghubungi keluarga Suraya. Dia bertanya kalau-kalau Suraya ada pulang ke rumah, tetapi keluarga Suraya menafikannya.

Semuanya bingung memikirkan apa yang berlaku. Berita kehilangan Suraya menjadi hangat. Semua warga asrama mula bercerita mengenai hal ini.

Disebabkan risau dengan keselamatan Suraya, pihak sekolah membuat laporan polis. Di samping itu mereka juga meminta tolong dari seorang ustaz untuk mengesan sahabat kami itu.

Malam itu, ustaz datang ke asrama. Mengikut kata ustaz, Suraya memang berada di dalam bengkel tersebut, cuma dia disorokkan oleh makhluk halus. Sebab itulah dia tidak dapat dilihat oleh mata kasar. "Kita kena buat sesuatu," kata ustaz berkenaan, lalu memberitahu warden tentang rancangannya.

Tepat pukul 12.00 malam, ustaz itu memulakan bacaan. Selepas itu, dia bersama semua warga asrama kami melakukan solat hajat. Tamat sahaja solat hajat, kami semua diminta membaca surah Yasin pula.

Semasa pelajar membaca surah Yasin, ustaz bersama tiga orang guru dan beberapa orang pelajar termasuk saya, Ida dan Lia pergi ke kawasan bengkel lama itu. Ustaz berkenaan membaca beberapa baris ayat al-Quran.

Mulutnya terkumat-kamit lalu dihembuskan ke dalam sebekas air yang berada di tangannya lalu dia menjirusnya di hadapan pintu masuk bengkel.

Sejurus air dijirus, tiba-tiba kami terdengar satu suara hilaian yang sungguh menakutkan dari dalam bengkel tersebut.

Apa yang mengejutkan kami, tidak semena-mena juga, suasana malam itu berubah. Angin tiba-tiba bertiup kencang. Daun-daun kayu berterbangan naik ke udara.

Suara hilaian itu terus kedengaran. Ia sungguh mengerikan kerana bertingkah-tingkah dengan bunyi seperti ngauman singa. Ustaz itu terus membacakan ayat al-Quran, kemudian bangun dan bersilat.

Dia seolah-olah sedang berlawan dengan sesuatu yang sangat kuat, tetapi tidak dapat dilihat jasadnya.

Kami hanya memerhati saja ustaz itu bergelut seorang diri. Kalau anda lihat apa yang berlaku, pasti anda juga berasa seram.

Setelah setengah jam berlalu, kami terdengar suara orang batuk dari dalam bengkel.

"Cikgu! Masuk ke dalam. Bawa Suraya keluar!" jerit ustaz itu.

Dua orang guru segera masuk ke dalam bengkel. Di situ mereka lihat Suraya terbaring di atas lantai dalam keadaan tidak bermaya.

Mulutnya dipenuhi darah. Ulat-ulat halus juga berkerumun di mulutnya. Mereka segera memapah Suraya keluar.

Kami terus berkejar mengerumuni Suraya yang dibaringkan di atas lantai simen. Kami lihat mata Suraya terbeliak ke atas. Tubuhnya pula menggeletek seperti ikan yang kelemasan.

Ustaz itu sekali lagi membaca ayat al-Quran lalu ditiupkan di sebelah kiri telinga Suraya. Suraya meronta-ronta. Dia meraung dan menolak kedua-dua orang guru yang cuba membantunya.

Aneh, walaupun tubuhnya agak kecil, tetapi malam itu kudrat Suraya begitu kuat sehingga kedua- dua guru berkenaan terpelanting.

"Siapa kau? Jangan ganggu aku!" jerit Suraya dengan muka yang menyinga.

Ustaz itu tidak peduli, dia terus membaca ayat- ayat al-Quran dan kemudian meniup ke arah Suraya. Mungkin anda pernah lihat proses rawatan sebegini. Begitu juga dengan Suraya, dia menjerit-jerit kesakitan apabila ustaz meniupkan ayat-ayat al-Quran ke arahnya.

Bukan itu saja, kami lihat dia menutup telinga dan meludah-ludah ke arah ustaz. Suara Suraya berubah menjadi seperti seorang lelaki.

"Lailahaillallah! Allahuakbar!" baca ustaz itu, langsung menepuk ke belakang badan Suraya.

Serentak itu Suraya terus termuntah darah. Darah yang berwarna merah kehitaman melimpah ke lantai. Baunya sungguh busuk. Sebusuk bangkai. Suraya lembik dan kepenatan.

Kira-kira 10 minit kemudian, Suraya mulai pulih. Dia perlahan-lahan membuka matanya dan terus menangis.

Suraya terus dibawa ke surau, kemudian dimandikan oleh Cikgu Syuhada dan selepas itu diberikan sedikit makanan. Setelah Suraya kelihatan stabil, Cikgu Syuhada mula bertanya kepadanya apa yang berlaku.

SURAYA MENCERITAKAN kepada kami, malam itu ketika sedang tidur, tiba-tiba dia terdengar satu suara memanggil-manggil namanya. Selepas itu dia tidak sedar apa yang berlaku.

Suraya sebaliknya rasa dirinya dikawal oleh sesuatu. Apa yang Suraya ingat, dia sudah berada di dalam bengkel tersebut. Semasa di dalam bengkel, ada seorang nenek yang datang bertemu dengannya.

Wajah nenek itu seperti orang biasa saja. Nenek itulah yang memberikan Suraya makan dan minum. Nenek itu mahu membawa dia pulang ke kampungnya. Awalnya Suraya menolak. Tetapi, apabila dipujuk berulang kali, akhirnya dia bersetuju.

Kata Suraya, nenek itu membawanya ke sebuah kampung yang dihuni oleh manusia yang sungguh pelik. Wajah mereka amat menakutkan. Ada yang bertaring, ada yang bertanduk, tidak kurang juga yang matanya tersembul keluar.

Suraya berasa takut, tetapi disebabkan nenek itu selalu berada di sisinya, dia berasa selamat. Nenek itu menemani Suraya ke mana sahaja dia pergi.

Dia juga memanggil Suraya dengan gelaran 'Puteri Merah'. Tambah Suraya lagi, nenek itu turut memberikan sebentuk cincin kepadanya.

Setelah memakai cincin tersebut, Suraya terus tidak sedarkan diri sehinggalah dia terjaga dan dikelilingi oleh guru-guru lelaki.

"Mana cincin itu?" soal Cikgu Syuhada.

"Ni ada kat tangan. Tapi saya tak boleh buang," balas Suraya sambil menunjuk jari manisnya.

Cikgu Syuhada terpinga-pinga, dia tidak nampak sebentuk cincin pun di jari Suraya. Kami juga tidak nampak cincin yang dimaksudkannya. Hanya dia seorang sahaja yang nampak.

KEJADIAN ITU menyebabkan pihak sekolah mengambil keputusan untuk merobohkan bengkel lama tersebut. Bagaimanapun, selepas bengkel berkenaan diruntuhkan, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah kami.

Kata orang, mungkin makhluk itu marah kerana kawasan perkampungannya dirobohkan. Itu cerita orang, saya tak berani nak kata betul atau tidak.

Selepas kejadian itu juga, kami dapati perangai Suraya menjadi semakin pelik. Dia lebih suka menyendiri. Pada waktu tengah malam, Suraya sering kelihatan bersembang dengan seseorang, sedangkan tiada sesiapa di hadapannya.

Saya, Lia dan Ida? Kami terus berkawan dengan Suraya, tetapi bila tengok dia lain macam aja, kami terus suruh dia mengucap dan berzikir. 

Penghujung 2011, kami tinggalkan sekolah tersebut, yang terletak di sebuah daerah di Pahang. Sekarang saya menuntut di sebuah IPTS di Kuala Lumpur, manakala Lia dan Ida di UiTM Shah Alam. 

Suraya? Biarpun menetap di bandar yang sama, iaitu Jerantut, namun kami sudah lama tidak berjumpa.

Khabarnya Suraya kini bekerja di sebuah syarikat komputer di Kuantan. Saya dengar, kejadian itu serba sedikit memberi kesan buruk kepada kesihatannya.

Raudhatul Nisa, Kuala Lumpur

0/komen