Pelan Internet Perniagaan U Biz Fibre 10Gbps


U Mobile telah memperlihatkan pelan sambungan internet pantas mereka sendiri dengan U Biz Fibre 10Gbps pada harga RM1899 sebulan. U Mobile mengatakan bahawa pelan internet ini juga hadir dengan sokongan untuk Secure DNS yang memastikan keselamatan rangkaian terjamin daripada serangan siber yang semakin berleluasa kebelakangan ini.


Pelan ini dikatakan sesuai untuk syarikat-syarikat yang memerlukan sambungan internet yang pantas untuk tujuan seperti pemprosesan tugasan AI, penghantaran dan penyimpanan media beresolusi tinggi, pemprosesan objek 3D, penyelidikan sains dan sebagainya.

Dalam pada itu, U Mobile turut mengatakan bahawa setiap langganan U Biz Fibre 10Gbps ini juga akan hadir dengan satu alamat IP tetap untuk mesin pelayan pelanggan, dan boleh ditambah pada harga RM300 untuk setiap alamat IP yang mahu disambungkan kepada mesin pelayan pelanggan.



Pelan U Biz Fibre 10Gbps ini merupakan penawaran terbaru dalam pelan langganan U Biz Fibre yang juga terdiri daripada pelan 100Mbps, 500Mbps dan 1Gbps yang ditawarkan sejak bulan Julai 2023. Setiap langganan U Biz Fibre ini, termasuk pelan 10Gbps hadir dengan kontrak selama 24 bulan.

U Mobile juga mengatakan bahawa buat masa ini, pelan U Biz Fibre 10Gbps ditawarkan di Berjaya Times Square and Pavilion Damansara Heights. Lokasi-lokasi seperti Lalaport Bukit Bintang City Centre, KL Eco City dan Mid Valley Megamall juga akan disokong tidak lama lagi.

0/komen