Penyebab Keras Hati


Kekerapan melakukan dosa dan memandang ringan terhadap dosa adalah antara faktor yang menyebabkan kekerasan hati. Apatah lagi memandang remeh terhadap taubat dalam kehidupan.

Syekh Ibn A'toillah Assakandari membicarakan hikmahnya dengan menyebut: "Sebahagian daripada tanda matinya hati adalah tidak merasa sedih kerana meninggalkan amalan kewajipan atau kebaikan dan tidak menyesal atas sesuatu pelanggaran dosa."

Sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Masu'd berkata, "Orang mukmin melihat dosa pada dirinya seolah-olah dia berada di bawah bukit yang akan menghempapnya, manakala orang munafik melihat dosanya umpama lalat yang hinggap diatas hidungnya lalu menepis dengan tangannya sahaja dan terbanglah lalat tersebut."

Justeru, kita sebagai seorang mukmin sewajarnya berusaha membersihkan hati dengan bertaubat dan beristighfar serta berdoa kepada Allah sebagai garis panduan.



Anas meriwayatkan Baginda SAW bersabda maksudnya: "Wahai Allah yang membolakbalik hati-hati, tetapkanlah hatiku agar sentiasa berada diatas landasan agama-Mu." (Riwayat Tirmizi).

Pesanan Baginda SAW agar kita sentiasa berwaspada terhadap setiap perlakuan dosa kerana ia akan meninggalkan titik hitam di hati jika ia tidak dibersihkan segera dengan taubat dan beristighfar. Seterusnya akan menutup cahaya iman yang lahir daripada kalimah syahadah yang kita lafazkan kerana kalimah terbabit menunjukkan kita kepada jalan yang perlu diikut.

Cahaya iman akan menjadi malap apabila titik hitam terbabit tidak dibersihkan sehingga menyebabkan selaput kotoran akan bertambah menebal dan memberi kesan kepada hati.

Daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya apabila seseorang melakukan dosa, nescaya akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, maka terhakislah titik hitam tersebut. Jika ia tidak berbuat demikian, titik hitam tersebut akan terus merebak hingga ke seluruh hatinya sebagaimana firman Allah bermaksud: "Sebenarnya tiada cacat kepada ayat-ayat Kami, bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran disebabkan perbuatan kufur dan maksiat." (Riwayat Tirmizi).

0/komen