Siri Cip Pemprosesan Intel Core 200V Lunar Lake Dilancarkan


Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan terbaru mereka, Intel Lunar Lake . Kini, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan tersebut yang hadir dengan nama model Intel Core Ultra 200V.


Untuk siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V, Intel tidak lagi akan menggunakan hyperthreading kerana prestasi cip pemprosesan ini akhirnya sudahpun berada di satu tahap dimana komputer riba tidak memerlukannya untuk tugasan yang dijalankannya.


Penjelasan yang diberikan ialah kerana dalam ujian mereka, penggunaan multi-threading menyebabkan teras-teras ini kurang cekap dalam penggunaan tenaga dan tidak meningkatkan jumlah IPC yang boleh digerakkan.

Malah, salah satu fokus utama pelancaran cip pemprosesan Intel Lunar Lake hadir dari segi kecekapan penggunaan kuasa elektrik dan bateri, yang mana pihak Intel mengatakan jauh mengalahkan pesaing-pesaing dari AMD, Qualcomm yang mana Intel juga mengatakan ia dua kali lebih cekap berbanding cip pemprosesan mereka sendiri sebelum ini.

Perkara ini dibantu oleh keputusan Intel untuk menggabungkan teras kecekapan (E-core) mereka dengan teras kecekapan berkuasa rendah (low power E-Core) dalam satu cip sahaja. Ini membantu mengurangkan beban cip pemprosesan untuk memilih teras manakah yang lebih cekap digunakan untuk tugasan ringan.

Sejumlah tugasan-tugasan lebih kecil seperti pengaktifan paparan dan penggunaan palam I/O ditugaskan kepada teras media dan I/O yang terbina, tanpa perlu mengacau mana-mana teras utama. Ini mengurangkan lagi penggunaan kuasa elektrik/bateri keseluruhan sesebuah komputer riba, dan melanjutkan lagi jangka-hayat bateri komputer riba Lunar Lake.



Lebih menarik lagi, kesemua model-model CPU Intel Core Ultra 200V ini hadir dengan jumlah teras dan bebenang kuasa yang sama, iaitu lapan teras dan lapan bebenang dari model Intel Core Ultra 9 288V yang tertinggi sehinggalah Intel Core Ultra 5 266V, dengan perbezaan diperlihatkan dari segi kelajuan CPU, jumlah memori LPDDR5X terbina (32GB dan 16GB) dan juga penggunaan cip pemprosesan grafik Intel Arc Xe2 yang baru.

Penambahan teras dan bebenang kuasa melebihi lapan untuk setiap unit tidak memberi sebarang kebaikan khususnya untuk sebuah komputer riba nipis dan ringan, dan ini adalah sebab mengapa kesemua SKU Intel Lunar Lake mempunyai jumlah teras tersebut, dan TDP keseluruhan dari 9W ke 33W sahaja.

Intel juga telah memberi butiran baru mengenai penggunaan cip pemprosesan Intel Xe2 atau lebih dikenali sebagai BattleMage bersama-sama dengan cip pemprosesan Lunar Lake. Tidak banyak butiran yang diketahui mengenainya sebelum ini, tetapi di acara pelancaran mereka, tetapi kini mereka telah memperlihatkan sejumlah butiran baru mengenai prestasi cip grafik terbaru ini.

Melalui ujian awal yang dilakukan oleh Intel sendiri, mereka mengatakan bahawa gaming menggunakan komputer riba nipis dan ringan bukanlah angan-angan lagi, dimana mereka boleh menggerakkan permainan moden pada resolusi Full HD dan tetapan pertengahan tanpa masalah.

Mengenai sokongan grafik, Intel juga mengatakan bahawa setakat ini, teknologi super-sampling Intel, iaitu Intel XeSS kini menyokong lebih dari 120 permainan komputer moden, dan boleh dimanfaatkan pada komputer riba Intel Lunar Lake apabila ia dilancarkan kelak.

Selain daripada gaming, Intel juga mengatakan bahawa teras media dan cip grafik Intel Xe2 terbina mereka menyokong pelbagai jenis codec video seperti H.265, H.266, VC9 dan sebagainya untuk penyahkodan video yang lebih cekap.


Satu lagi bahagian yang diberikan penekanan oleh Intel dengan pembangunan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V ini ialah jangka hayat bateri. Apabila diuji dengan penanda-aras program produktiviti UL Procyon Office, komputer riba ini mencatat jangka-hayat bateri 20 jam, manakala dengan ujian program telesidang Microsoft Teams dengan WiFi dipasang, ia boleh betahan selama sekitar 10-11 jam.


Intel juga menjangkakan bahawa syarikat-syarikat pembuat komputer akan memperkenalkan sejumlah besar model komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V tidak lama lagi yang mana semuanya akan hadir dengan rekaan nipis dan ringan.

0/komen