Siri Xiaomi TV A (2025) Di Malaysia


Xiaomi kini meluaskan penawaran televisyen pintar di Malaysia dengan pengenalan siri Xiaomi TV A 2025. Ia didatangkan dalam tiga pilihan saiz yang terdiri dengan Xiaomi TV A 55″ (2025), Xiaomi TV A 43″ Pro (2025) dan Xiaomi TV A 55″ Pro (2025). Kesemuanya juga memiliki kelebihan tersendiri yang kini diberi sentuhan moden untuk gaya lebih menarik.


Kesemua televisyen pintar ini berkongsi penawaran yang sama dengan resolusi skrin 4K UHD (3,840 X 2,160 piksel) dan kadar segar semula 60Hz. Kelebihan bagaimanapun boleh ditemui pada versi pro yang menggunakan panel berteknologi Quantum Dot untuk paparan warna lebih terang dan bermaya. Meskipun tidak menawarkan kadar segar semula yang tinggi namun pengalaman tontonan yang baik masih boleh dinikmati dengan binaan bezel yang nipis selari dengan trend kebanyakan televisyen di pasaran ketika ini.


Siri Xiaomi TV A 2025 turut dilengkapi dua pembesar suara 8W dengan sokongan Dolby Atmos, DTS:X dan DTS Virtual:X untuk kualiti audio lebih baik. Chromecast dan Miracast juga disokong untuk perkongsian kandungan yang mudah daripada telefon pintar atau tablet. Kemudian dilengkapi juga memori sebesar 2GB RAM, storan 8GB ROM dan akses kepada sejumlah perkhidmatan penstriman popular seperti Netflix, Amazon Prime Video serta Youtube (prapasang).


Terdapat juga sokongan untuk Google Assistant yang membolehkan pengguna mengawal peranti rumah pintar lain terus daripada televisyen. Pilihan I/O pula terdiri dengan dua port HDMI, dua port USB 2.0, port Ethernet dan input AV untuk menyambungkan pelbagai peranti.






 Xiaomi TV A 55″ 2025 dijual di Malaysia dengan harga RM1,999. Sementara itu, Xiaomi TV A 43″ Pro 2025 dan Xiaomi TV A 55″ Pro 2025 pula masing-masing berharga RM1,499 dan RM2,399. Promosi harga menarik turut ditawarkan untuk masa terhad yang bermula RM1,699 (Xiaomi TV A 55″ 2025), RM1,249 (Xiaomi TV A 43″ Pro 2025) dan RM1,999 (Xiaomi TV A 55″ Pro 2025).

0/komen