Wang ASB, Tabung Haji Lesap


Suri rumah kerugian RM103,517 simpanannya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Lembaga Tabung Haji (TH) dipercaya individu menyamar pegawai syarikat insurans dan polis.

Wanita berusia 54 tahun dari Raub itu membuat laporan polis kelmarin, mendakwa menerima panggilan telefon pada 15 September lalu, kononnya daripada syarikat insurans memaklumkan dia membuat permohonan tuntutan insurans palsu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata panggilan berkenaan disambungkan kepada individu lain menyamar pegawai polis yang kemudian turut memaklumkan mangsa juga terbabit kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Katanya, mangsa diberitahu namanya akan disenaraihitamkan dan waran tangkap juga akan dikeluarkan terhadapnya.

"Mangsa kemudian diarah menukar kad ATM baharu dan perlu menyerahkan maklumat perbankan. Pada masa sama, dia juga diarah memindahkan wang simpanan dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan TH ke satu akaun."

"Mangsa membuat semakan di bank dan mendapati wang simpanannya berjumlah RM103,517 lesap. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya .

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi berkaitan untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka dengan isu-isu semasa membabitkan modus operandi mengenai penipuan jenayah secara dalam talian," katanya.
 

0/komen