Warga Malaysia Kerugian RM 1.6 Bilion


Kerugian mencecah RM 1.6 bilion dicatatkan di Malaysia disebabkan oleh penipuan atas talian sejak 19 bulan yang lalu menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Persekutuan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Ini adalah statistik sehingga Julai tahun ini sahaja dan dalam tempoh tersebut sebanyak 40,385 kes penipuan atas talian dilaporkan.

Daripada jumlah ini 15,782 kes melibatkan penipuan dalam pembelian atas talian, 8,655 penipuan pelaburan, 4,438 kes penipuan menggunakan telefon dan 1,362 kes penipuan percintaan. Kes penipuan pembelian atas talian sahaja menyebabkan kerugian RM243.5 juta manakala penipuan menerusi telefon pula sebanyak RM224.2 juta.

Justeru itu Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menasihatkan orang rama supaya tidak begitu mudah terpedaya dengan pengiklanan menerusi Facebook, WhatsApp, WeChat dan pelbagai lagi platform atas talian yang lain.

Sebelum ini pihak PDRM mengatakan penduduk Malaysia kerugian RM100,000 setiap hari disebabkan penipuan atas talian. Nilai kerugian disebabkan penipuan atas talian semakin meningkat kerana 12 tahun lalu kerugian RM2.75 bilion dicatatkan dalam masa lima tahun.

Isu yang dihadapi sekarang ialah pengendali media sosial sangat lalai dalam meluluskan pengiklanan produk pada platform milik mereka. Jika dilaporkan sekalipun, masa yang diambil untuk mengambil tindakan adalah perlahan. Selagi tiada tindakan yang melibatkan jumlah denda yang tinggi, kami melihat media sosial akan kekal menjadi medium pilihan penipuan atas talian.
 

0/komen