Acer Predator League 2025 telah melancarkan beberapa produk Predator baharu untuk pasaran Malaysia. Dari PC baharu, monitor gaming dan alat kawalan semuanya dilancarkan.
Predator Orion X
Orion X adalah PC kompak bersaiz 15.4L yang direka khusus untuk memudahkan pengguna menaiktaraf komponen pada bila-bila masa. Dalaman PC ini telah dibahagikan kepada bahagian spesifik untuk lebih mudah akses seperti bahagian sistem penyejukan, bahagian CPU, GPU serta sistem hot-swap SSD M.2. PC ini turut dilengkapi dengan sistem penyejukan Predator Frostblade 3.0 yang direka sendiri oleh Acer.
Orion X dijana dengan cip Sehingga Intel Core i7-14700F dipadankan dengan GPU NVIDIA GeForce RTX 4080 SUPER, memori mencapai 32GB RAM DDR5 (boleh dinaik-taraf kepada 64GB) dan storan dalaman 1TB SSD PCIe Gen 4. Bersama-sama dengan PC baharu ini, perisian PredatorSense 4.0 turut dilancarkan dengan antaramuka lebih mesra pengguna untuk mengawal sistem RGB pada PC serta prestasi termasuk melewahjam CPU dan mengawal tetapan GPU.
Monitor Predator X49 V, XB323QU M3 & XB273U V3
PC gaming dengan rekaan cool haruslah digunakan bersama monitor gaming berkuasa yang luas dan lebar. Oleh yang demikian, monitor skrin melengkung Predator X49 V ditawarkan di Malaysia.
Ia menggunakan skrin OLED bersaiz 49-inci dengan lengkungan 1800R, beresolusi DQHD (5120 x 1440), menyokong kadar segar semula 144Hz AMD FreeSync dengan sela masa 0.3ms, serta turut menerima pengiktirafan VESA DisplayHDR 400.
Setiap port sambungan pada monitor ini turut menyokong sistem KVM, memudahkan pengguna untuk menyambungkan pelbagai aksesori dan perkakasan luaran untuk melengkapkan set PC gaming masing-masing. X49 V juga tidak melupakan kemampuan multi-tugasan kerana menawarkan mod gambar-dalam-gambar dari dua sumber berbeza. Monitor ini turut menyokong sambungan USB-C dengan kuasa PD 90W.
XB323QU M3 dan XB273U V3 adalah dua monitor kelas pertengahan premium dengan ciri serta fungsi lebih kurang sama. Masing-masing menggunakan panel LCD bersaiz 32-inci dan juga 27-inci. Setiap monitor menyokong resolusi WQHD (2560 x 1440), kadar segar semula 180Hz AMD FreeSync + sela masa 0.5ms dan juga menggunakan teknologi paparan IPS Agile-Splendor.
Setiap satu monitor ini hadir dengan kaki Ergostand yang fleksibel untuk pengguna mengubah sudut pandangannya pada pelbagai arah. Monitor ini turut menyokong sistem widget Acer Display untuk menjadikan pengalaman permainan video lebih imersif dan penuh khusyuk.
Predator PGR300 & Nitro NGR300
Dua produk terakhir yang dilancarkan adalah alat kawalan gaming baharu. Kedua-duanya mempunyai rekaan, ciri dan fungsi lebih kurang sama. PGR300 untuk gamer lebih serius dan NGR300 pula untuk sesi gaming santai. Predator PGR300 menggunakan butang-butang dan analog Hall Effect yang lebih jitu dan tahan lama. Ia turut mempunyai sensor gerakan dan sistem getaran dwi-motor. Setiap butang telah diuji untuk 3 juta kali tekan serta direka dengan rekaan ergonomik mengikut posisi terbaik jari pengguna.
NGR300 adalah alat kawalan yang sama, cuma sistem butang-butang dan analog biasa bukannya Hall Effect. Kedua-dua alat kawalan ini menggunakan susunan butang Xbox dan telah dibangunkan untuk menyokong pelbagai platform permainan video.
Berikut adalah harga jualan bagi setiap produk baharu;
Predator Orion X – RM10,999 Intel Core i5 / RM12,999 Intel Core i7
Predator Predator X49 V – RM4,699
Predator XB323QU M3 – RM1,299
Predator XB273U V3 – RM899
Predator PGR300 – RM399
Nitro NGR300 – RM199
Catat Ulasan