Iodyne Pro Mini Di Umumkan


Iodyne, syarikat pembuat storan digital kini telah mengumumkan produk terbaru mereka, iaitu Iodyne Pro Mini, sebuah storan SSD padat yang tampil dengan kelajuan penulisan dan pembacaan data sepantas 3GB/s. Ia tampil dengan sokongan sambungan USB4 dan Thunderbolt, tetapi itu bukanlah apa yang membantu SSD ini mendapatkan kelajuan yang sangat pantas tersebut.

Storan SSD luaran yang mempunyai sambungan USB4 ataupun Thunderbolt secara lazimnya akan hadir dengan kelajuan penghantaran data sekitar 40Gbps, tetapi kerana isu seperti suhu, kadar kelajuan data ini biasanya akan turun ke sekitar 20Gbps ataupun 1.5GB/s. Iodyne menggunakan sistem penyejukan Frore Systems AirJet Mini yang menggunakan tenaga elektrik untuk menjana udara yang menyejukkan cip-cip SSD secara senyap.


Pengurangan suhu ini membolehkan storan Iodyne Pro Mini ini untuk menawarkan kelajuan penuh 3GB/s sepanjang masa apabila anda menggunakan storan SSD ini.

Dari segi penawaran storan, Iodyne Pro Mini ini hadir dengan pilihan storan 4TB dan juga 8TB didalam sebuah rangka aluminum dan mempunyai sebuah paparan digital di bahagian belakang yang memperlihatkan beberapa butiran seperti nama storan yang diberikan, jumlah storan yang digunakan dan jenis sambungan kepada komputer riba anda, supaya anda tahu apa kelajuan data yang dapat diperlihatkan.



Pra-tempahan untuk Iodyne Pro Mini ini juga sudah dibuka untuk pasaran-pasaran terpilih dan akan mula dijual pada suku pertama 2025. Harga untuk storan SSD ini ditetapkan pada USD$1500/RM 6661  untuk model 4TB dan USD$2200 / RM 9970 untuk model 8TB.

0/komen