Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V Lunar Lake yang baru sahaja dilancarkan, ia tidak mengejutkan untuk melihat bahawa pelbagai syarikat pembuat komputer riba mula menawarkan kemaskini cip tersebut kepada produk-produk mereka.
MSI adalah salah satu daripada syarikat-syarikat tersebut, dan mereka tidak membuang sebarang masa untuk mengemaskini komputer-komputer riba produktiviti mereka dengan cip pemprosesan terbaru ini. Dua model komputer riba yang akan memperlihatkan kemaskini ini termasuklah MSI Prestige, MSI Summit 13 AI+ Evo dan juga MSI Venture.
Bermula dengan komputer riba MSI Prestige, siri komputer riba ini hadir dengan tiga pilihan saiz paparan IPS, termasuklah 13, 14 dan 16 inci. Walaupun hadir dengan saiz yang berbeza, satu persamaan yang dikongsi oleh komputer riba ini ialah ia hadir dengan rekaan yang nipis dan juga ringan.
Ini, digabungkan dengan jangkahayat bateri yang panjang (sehingga 20 jam video dimainkan) menjanjikan tempoh produktiviti di pejabat, sekolah ataupun rumah yang cukup panjang sekali, dimana pengguna tidak lagi perlu risau untuk membawa aksesori pengecasan apabila di luar bersama-sama komputer riba ini.
Bagi mereka yang gemar menggunakan komputer riba bersaiz padat, MSI Summit 13 AI+ Evo mungkin lebih sesuai . Ia bukan sahaja hadir dengan paparan skrin 13 inci yang boleh diterbalikkan untuk dijadikan sebagai sebuah tablet, ia juga cukup nipis dan ringan untuk digunakan tidak kira didalam pejabat, di rumah ataupun dimana-mana tempat lain.
Dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V, MSI juga memperkenalkan sebuah model komputer riba baru yang dinamakan MSI Venture. Siri komputer riba ini hadir dengan empat penawaran saiz paparan, termasuklah 14 inci, 15.6 inci, 16 inci dan 17 inci yang mana kesemuanya menggunakan panel OLED dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi.
Sebagai sebuah komputer riba produktiviti, ia bukan sahaja hadir dengan jangka-hayat bateri yang panjang, tetapi juga menggunakan teknologi pengecasan USB-C PD 100W yang pantas sekali.
Seperti yang dikatakan, kesemua komputer-komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V yang hadir dengan lapan teras fizikal yang dipisahkan kepada empat teras prestasi (P-core) dan empat teras kecekapan (E-core) dan bergantung kepada model, hadir dengan pilihan memori LPDDR5X terbina dari 16GB dan 32GB.
Buat masa ini MSI Malaysia belum lagi mengumumkan bilakah komputer-komputer riba ini akan tiba ke pasaran tempatan.
Catat Ulasan