Wanita Terjerat ‘Love Scam’ Doktor Tentera


Dua wanita di Thailand mendedahkan bahawa mereka menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ seorang lelaki yang didakwa menggunakan ilmu hitam untuk memukau mereka.

Kasamon, 27 dan Phitchaya, 29, berkata, mereka meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan, Saimai Survive untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki yang dikenali sebagai Bank.

Menurut Kasamon, dia mula mengenali Bank melalui aplikasi janji temu online pada Oktober 2019 sebelum menjalin hubungan serius dengan lelaki itu selama lima tahun.

Bank yang menyamar sebagai doktor tentera, sering meminta bantuan wang ringgit daripada Kasamon sehinggakan wanita itu membelanjakan lebih 1 juta baht (RM130,000) untuk lelaki tersebut.

Sementara itu, Phitchaya pula berkata, dia menjalin hubungan selama enam bulan dengan Bank dan sering diminta untuk membantu lelaki itu dari segi kewangan.

Dia juga mendapat tahu bahawa Bank mempunyai beberapa teman wanita, yang dipercayai turut menjadi mangsanya.

Kasamon dan Phitchaya turut mengesyaki Bank menggunakan ilmu hitam ke atas mereka kerana pernah dibawa menjalani satu ritual aneh.

Menurut kedua-dua wanita itu, selepas menjalani ritual tersebut, mereka hanya menuruti semua arahan Bank dan percayakan setiap kata-katanya dengan mudah.

Namun, selepas benang yang diikat di tangan mereka semasa ritual tersebut dibuka, kedua-dua Kasamon dan Phitchaya mengaku berasa seolah-olah tersedar daripada pukauan.

Tiada penjelasan mengenai langkah yang telah diambil kedua-dua mangsa, namun mereka nekad mengambil tindakan undang-undang ke atas Bank.
 

0/komen