
Nothing Ear (open) diumumkan secara rasmi sebagai tambahan baharu untuk rangkaian aksesori audio jenama ini. Ia merupakan sepasang fon telinga nirwayar terbuka dengan keupayaan boleh disangkut pada telinga. Bahagian cangkuk menggunakan bahan silikon lembut dengan satu pilihan warna iaitu putih. Dalam masa sama diyakini sesuai digunakan ketika melakukan aktiviti bersukan kerana tidak mudah jatuh.




Nothing juga dilihat masih mengekalkan kemasan ikonik mereka dengan terdapatnya komponen lutcahaya. Memandangkan ia sepasang fon telinga terbuka maka tiada putik silikon disertakan dengan lubang pembesar suara pula diletakkan betul-betul di hadapan lubang telinga. Melaluinya juga Nothing mengunakan set pemandu audio sebesar 14.2mm dengan teknologi pembatalan hingar terkini Nothing (Clear Voice Technology 3.0) yang diyakini mampu menapis bunyi persekitaran dengan sebaiknya.

Tambatan pantas boleh dibuat menerusi bluetooth 5.3 yang juga menyokong sambungan pintar dwi-peranti serentak. Sementara itu, codec yang disokong pula ialah AAC dan SBC untuk kualiti audio lebih baik. Terdapat juga ciri Low Lag Mode yang pastinya menarik perhatian para gamer untuk mendapatkan pengalaman permainan yang maksimum. Ia turut boleh diaktifkan secara automatik apabila pengguna telefon Nothing sedang menggunakan Game Mode. Sebagai pilihan boleh diaktifkan melalui aplikasi Nothing X bagi pengguna telefon lain.
Selain itu mempunyai sokongan ChatGPT terbina yang boleh diakses melalui aplikasi Nothing X sama seperti yang ditawarkan pada fon telinga Nothing yang lain. Ini membolehkan pengguna menyeru chatbot OpenAI untuk akses pantas dengan arahan suara. Bateri disertakan boleh berfungsi hingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas kemudian dicas semula melalui port USB-C terbina.

Harga jualan rasmi adalah RM695 dengan ketersediaan bermula 28 September 2024 yang lalu di Crossover’s Official Store. Pembelian secara dalam talian pula bermula 1 Oktober di Shopee dan 5 Oktober 2024 yang lalu melalui Lazada. Kemudian jualan terbuka bermula 14 Oktober 2024 yang lalu di seluruh pengedar sah Nothing di seluruh Malaysia.
Catat Ulasan