Rugi Lepas Sertai Pelaburan Saham Tidak Wujud


Peneroka warga emas kerugian lebih RM100,000 akibat terperdaya dengan pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki warga tempatan berusia 73 tahun itu, semalam, berhubung kes penipuan membabitkan sindiket pelaburan saham tidak wujud itu.

Beliau berkata, mangsa kerugian sebanyak RM107,296.18 selepas melakukan 15 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun atas nama penerima yang berbeza.

"Kejadian bermula sekitar Oktober 2023, apabila mangsa melihat sebuah iklan mengenai pelaburan saham secara islamik di laman Facebook yang diiklankan oleh Crasping Silver."

"Oleh kerana mangsa berminat untuk membuat pelaburan, mangsa menghantar mesej ke akaun Facebook berkenaan untuk bertanyakan berkaitan pelaburan ini."

"Suspek yang juga seorang wanita tempatan menerangkan kepada mangsa berkaitan pelaburan ini melalui aplikasi WhatsApp," katanya menerusi kenyataan media.

Beliau berkata, suspek memberitahu antara syarat untuk melabur, mangsa perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu.

Katanya, selepas membuat pendaftaran dan menjadi ahli kumpulan pelaburan Crasping Silver, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat selama setahun bermula Oktober 2023 hingga Oktober lalu.

"Sepanjang tempoh mangsa membuat pelaburan ini, mangsa tidak mendapat apa-apa keuntungan."

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa tertarik dengan keuntungan berlipat ganda yang dijanjikan suspek," katanya.

Yusof berkata, tarikh terakhir mangsa membuat pembayaran adalah pada 24 Oktober lalu dan selepas itu mangsa gagal menghubungi suspek sekali gus merasakan telah ditipu suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sindiket pelaburan yang menawarkan keuntungan berlipat ganda.
 

0/komen