
Acer Swift 14 AI diperlihatkan sebagai sebuah komputer riba kelas nipis dan ringan dan tampil dengan prestasi berkuasa dan bateri yang cekap sekali.
Acer Malaysia akhirnya telah mengumumkan ketibaan komputer riba ini, dan memperlihatkan paparan OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi WUXGA (1920×1200) dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi dan kadar segar semula 60Hz dan nilai kecerahan paparan setinggi 500 nit, yang menjanjikan paparan yang cukup terang sekali.
Bersama paparan terang ini, ia juga tampil dengan sokongan untuk teknologi paparan DisplayHDR True Black 500 yang menjanjikan kejituan olahan warna yang terbaik, tidak kira warna, dari merah, biru, hijau, mahupun hitam.

Menguasakan komputer riba ini ialah cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V yang tampil dengan lapan teras fizikal yang terbahagi kepada empat teras prestasi (P-core) dan empat teras kecekapan (E-cores) dan 32GB memori LPDDR5X terbina. Dari segi storan pula, komputer riba ini hadir dengan storan SSD PCIe4 sebesar 512GB.

Ia juga tampil dengan pilihan CPU Intel Core Ultra 5 226V yang tampil dengan jumlah teras yang sama, tetapi mempunyai memori terbina LPDDR5X 16GB dan jumlah storan yang sama.
Dari segi pilihan palam, Acer Swift 14 AI dilengkapi dengan dua palam Thunderbolt 4 yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pengecasan komputer riba dan kadar penghantaran data yang pantas. Dua palam USB 3.2 Type-A yang disediakan boleh digunakan untuk memasang pelbagai aksesori komputer yang lain. Ia juga tampil dengan palam HDMI 2.1 FRL yang boleh menyambungkan komputer riba ini kepada paparan skrin dengan resolusi setinggi 4K tanpa masalah.
Rangka komputer riba ini juga hadir dengan rekaan serba baru, dimana ia merupakan komputer riba pertama didalam siri ini yang hadir dengan rekaan logam aluminum sepenuhnya, yang sedikit sebanyak membantu dalam mengekalkan kesejukan komputer riba ini dengan lebih cekap. Ia juga mengekalkan berat komputer riba yang lebih ringan pada 1.3KG sahaja.
Dengan nama seperti Swift 14 AI yang dikuasakan cip pemprosesan AI terbaru oleh Intel, komputer riba ini juga dilengkapi dengan sebuah perisian yang dinamakan Acer Sense yang boleh diakses dengan mudah melalui sebuah butang Acer khusus di bahagian atas papan kekunci komputer riba ini.
Melalui perisian ini, anda boleh mengubah tetapan prestasi komputer riba ini, disamping memperlihatkan penggunaan sumber seperti CPU, memori, storan dan juga NPU. Sebarang kemaskini pada komputer riba ini juga boleh dilakukan melalui perisian ini, yang mempercepatkan proses tersebut untuk pengguna.
Jika anda mahu mengetahui bilakah komponen NPU sedang digunakan, Acer telah meletakkan lampu Activity Indicator pada bahagian pad sesentuh.
Acer juga tampil dengan sebuah kamera 1440p dan mikrofon yang dikuasakan AI yang dinamakan Acer PurifiedVIew dan Acer PurifiedVoice yang menjanjikan pengalaman telesidang yang terbaik. Untuk kamera Acer PurifiedView pula, komputer riba ini juga tampil dengan ciri Acer User Sensing 2.0 yang mengesan kehadiran pengguna untuk tujuan mengunci komputer riba sekiranya anda tidak menggunakan komputer riba.
Satu lagi kelebihan komputer riba Acer Swift 14 AI ini ialah ia tampil dengan bateri 65Wh yang dikatakan boleh bertahan selama 17 jam tanpa masalah. Pengecasan bateri komputer riba ini juga boleh dilakukan dengan pantas dimana ia menyokong pengecasan PD 65W.

Acer Swift 14 AI kini ditawarkan di pasaran tempatan melalui dua buah model, seperti yang dikatakan sebelum ini. Model dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 226V ditawarkan pada harga RM4399, manakala model yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V dijual pada harga RM4999.
Catat Ulasan