Intel Core Ultra 200S Dilancarkan


Intel  telah melancarkan siri cip pemprosesan kelas desktop terbaru mereka yang dinamakan Intel Core Ultra 200S, yang merupakan siri cip desktop pertama yang menggunakan penjenamaan Intel Core Ultra. Sebelum ini, Intel menamakan cip pemprosesan ini sebagai Intel Arrow Lake-S sebagai kod nama untuk siri CPU ini.

Lima model CPU dilancarkan, termasuklah Intel Core Ultra 9 285K, Intel Core Ultra 7 265K, Intel Core Ultra 7 265KF, Intel Core Ultra 5 245K dan Intel Core Ultra 5 245KF.


Model paling premium, Intel Core Ultra 9 285K dilihat hadir dengan 24 teras fizikal dan 24 bebenang, dan sekali lagi memperlihatkan bahawa Intel sudah tidak lagi membahagikan bebenang kuasa mereka kepada dua dengan HyperThreading seperti sebelum ini. Perkara ini juga diperlihatkan pada cip pemprosesan komputer riba Lunar Lake yang dilancarkan sebelum ini.


Untuk memudahkan para pelanggan mengingati jumlah teras yang hadir pada CPU-CPU ini, ia dilihat bahawa hanya Intel Core Ultra 9 285K hadir dengan 24 teras yang terdiri daripada lapan teras prestasi (P Cores) dan 16 teras kecekapan (E Cores). Intel Core Ultra 7 265K dan Intel Core Ultra 7 265KF tampil dengan 20 teras yang terdiri daripada lapan teras P Cores dan 12 teras E Cores. Intel Core Ultra 5 245K dan Intel Core Ultra 245KF pula tampil dengan 14 teras yang terdiri daripada 6 teras P Cores dan 8 teras E Cores.


Intel Core Ultra 200S juga hadir dengan pemproses NPU untuk kecerdasan buatan terbina. Akan tetapi ia tampil dengan NPU yang digunakan pada cip pemprosesan Intel Meteor Lake dengan 13 AI TFLOPS, jadi siri CPU ini tidak akan menerima pengesahan CoPilot PC+ daripada Microsoft.

Perbezaan siri cip pemprosesan K dan KF yang tertera, siri cip pemprosesan siri K bermakna bahawa CPU ini hadir dengan ciri lewajam manual, manakala untuk siri KF pula, huruf F menandakan bahawa ia tidak mempunyai cip pemprosesan grafik terbina, dan untuk memasuki menu BIOS dan sebagainya memerlukan kad grafik yang perlu dipasangkan pada papan induk.

Perlu diingatkan juga bahawa siri cip pemprosesan ini memerlukan anda untuk menggunakan papan induk dengan soket LGA 1851 dan soket ini hanya hadir pada papan induk terbaru Intel Z890 buat masa ini. Intel juga mengesahkan bahawa papan induk dengan cipset H870 dan B860 juga akan diperkenalkan kelak, tetapi untuk cip pemprosesan siri K dan KF yang akan tiba di pasaran dalam masa terdekat ini, papan induk siri Intel Z890 akan dijual terlebih dahulu.


Dalam pada itu, komputer yang menggunakan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200S ini juga tidak akan menyokong memori DDR4, dan pengguna PC lama akan perlu membina sistem baru dari mula. Walaupun begitu, nampaknya penyejuk CPU sebelum ini juga boleh digunakan, walaupun terdapat laporan yang mengatakan bahawa kawasan panas CPU siri baru ini telah berpindah sedikit ke sebelah atas.

Intel juga mengesahkan bahawa siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200S tiba di pasaran global pada 24 Oktober 2024 yang lalu dan tampil dengan harga permulaan USD$294/ RM1324  untuk Intel Core Ultra 5 245KF sehinggalah USD $589/RM 2652 untuk Intel Core Ultra 9 285K.

komen