
Penantian seorang lelaki untuk memperoleh keuntungan sebanyak 150 kali ganda berkecai selepas menyedari dia tertipu dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
Mangsa yang berusia 42 tahun sebaliknya mengalami kerugian sebanyak RM347,000.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, berkata berikutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun,kelmarin.
Menurutnya, mangsa mendakwa menyertai skim pelaburan terbabit pada Mac tahun lalu dan berhubung dengan suspek yang menawarkan skim secara dalam talian.
"Mangsa membuat transaksi pertama sebanyak RM20,000 kepada sebuah syarikat. Sebaik membuat pemindahan wang, mangsa melakukan akad pelaburan sebagai mengikat persetujuan pelaburan itu."
"Menerusi akad pelaburan itu, suspek menjanjikan keuntungan sebanyak 150 kali ganda, empat atau lima kali seminggu dan dibayar keuntungan setiap hari bergantung hari yang didagangkan."
"Akibat percaya dengan perjanjian itu, mangsa membuat 19 transaksi ke tiga akaun berbeza," katanya.
Katanya, pengadu mula menyedari dia tertipu selepas pelaburan itu hanya berjalan selama 40 kali bayaran keuntungan sahaja.
"Pengadu telah berjumpa suspek untuk bertanya mengenai masalah itu dan suspek berjanji akan menyambung semula 'trade in' pada September 2024. Bagaimanapun, selepas dua minggu pertemuan itu, suspek gagal dihubungi," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Catat Ulasan