Mac Mini Bersaiz Lebih Kecil Di Malaysia


Apple telah memperkenalkan kemaskini untuk komputer bersaiz kompak mereka, Mac Mini. Menariknya, Mac Mini baharu ini hadir dengan rekaan saiz lebih kompak dan kecil berbanding generasi sebelum ini. Ia membawakan saiz hanya sebesar 5-inci x 5-inci, tetapi dengan menggunakan cip Apple M4, ia menawarkan kuasa pemprosesan yang jauh lebih berkuasa berbanding Mac Mini sebelum ini.

Selain model asas dikuasakan Apple M4, pihak Apple turut menawarkan versi berkuasa, dengan menggunakan cip Apple M4 Pro. Ia hadir dengan pilihan sehingga 14 teras pemprosesan, selain pilihan sehingga 20-teras GPU. Ini sekaligus membolehkan pengguna melakukan pelbagai tugasan yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi tanpa masalah menggunakan Mac Mini M4 Pro ini. Model M4 Pro turut hadir dengan sokongan Thunderbolt 5 untuk pemindahan data.


Walaupun bersaiz kompak, ia masih mengekalkan akses kepada beberapa port. Mac Mini hadir dengan dua port USB-C pada bahagian hadapan, serta bicu audio 3.5mm. Pada bahagian belakang, ia menyertakan tiga port Thunderbolt 4 pada pilihan M4, atau tiga port Thunderbolt 5 pada pilihan M4 Pro. Ia turut hadir dengan sokongan Gigabit Ethernet dan juga HDMI. Apple mengatakan Mac MIni mampu menyokong sehingga tiga paparan 6K melalui M4 Pro, atau dua paparan 6K + satu paparan 5K pada pilihan M4.

Di Malaysia, Mac Mini M4 ditawarkan pada harga bermula RM2499, sementara Mac Mini dengan M4 Pro pada harga bermula RM5999. Model ini juga turut menyokong Apple Intelligence melalui MacOS terbaru.

komen