Xiaomi SU7 Ultra Dilancarkan


Penghujung tahun lalu Xiaomi SU7 dilancarkan sekaligus memulakan era automotif Xiaomi. Selepas ratusan EV ini telahpun dijual di China, kini Xiaomi SU7 Ultra pula dilancarkan dengan ia merupakan model dengan prestasi tertinggi ditawarkan.


Xiaomi SU7 Ultra masih lagi sebuah EV sedan dengan empat pintu tetapi dipertingkatkan dengan dua motor elektrik V8s (578PS) dan satu motor elektrik V6s (392PS) yang memberikan kuasa gabungan 1548PS serta tork 1,770 Nm. Ini membolehkan SU7 Ultra memecut daripada 0-100 km/j dalam masa 1.9 saat sahaja. Kereta ini juga mampu bergerak sehingga kelajuan maksimum 350 km/j


Perubahan lain yang dilakukan ialah kit tubuh aerodinamik baharu di bahagian hadapan, spoiler belakang baharu dan kit tubuh yang lebih lebar berbanding model SU7 biasa. Di ruang kokpit terdapat skrin 16.1-inci untuk kawalan kereta, dua skrin di belakang untuk penumpang, dan cermin hadapan dengan sistem HUD. Kerusi dan stereng pula menggunakan bahan Alcantara.

Lebih banyak komponen gentian karbon turut digunakan pada cermin sisi, kemasan tepi pintu, kerusi dan juga slot penyaman udara. Malahan dua skrin yang sebelum ini diletakkan di belakang kerusi pemandu serta penumpang hadapan tidak lagi disertakan pada SU7 Ultra.



Sistem brek pula adalah jenis 4-piston Akebono dengan cakera pula daripada bahan karbon seramik bagi memberikan cengkaman brek yang lebih serasi untuk sebuah kereta berprestasi tinggi. Bateri pula adalah dari jenis Qilin 2.0 keluaran CATL dengan kapasiti 93.7 kWh. Ia boleh mengeluarkan kuasa puncak 1330 kW dengan sokongan pengecasan 5.2DC yang membolehkan bateri dicas dari 10-80% dalam masa hanya 11 minit.

Xiaomi SU7 Ultra dijjual pada harga RMB 814,900 (~RM 501,295) dengan hanya 4000 unit sahaja akan dihasilkan. Tempahan sudah dibuka dengan kenderaan hanya akan diterima pelanggan pada Mac 2025 kelak.

komen