
Xiaomi turut menambah seutas lagi model baharu dalam rangkaian jam tangan pintar keluarannya pada hari ini. Jam tangan yang dikenali sebagai Watch S4 itu tampil dengan sentuhan rekaan bergaya dengan identiti tersendiri menyamai versi Watch S4 Sport yang diumumkan pada tahun lepas.
Ia boleh didapati dalam versi eSIM dengan pilihan tali kulit sementara itu versi bluetooth pula dilengkapi tali fluoroelastomer. Kedua-duanya menggunakan skrin AMOLED AMOLED 1.43 inci (466 x 466 piksel) dengan keupayaan bezel yang boleh ditukar seperti pendahulunya Watch S3. Ini dipadankan dengan tombol berputar bersama butang fizikal tunggal di bahagian sisi.
Pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan turut disediakan bagi tujuan pemantauan harian. Ia juga mempunyai algoritma kadar denyutan jantung baharu yang dibangunkan sendiri dengan ketepatan mencapai 98.2%. Selain itu menyokong lebih 150 mod sukan yang merangkumi aktiviti luar seperti ski, bola, menari dan banyak lagi.

Sistem GPS terbina boleh menjejak larian serta menawarkan jalan kembali sekiranya pemilik tersesat. Sokongan eSIM pula membolehkan jam ini melakukan panggilan telefon, menerima notifikasi, menstrim muzik dan memuat turun peta. Xiaomi melengkapinya lagi dengan penarafan 5ATM bermakna kalis air dan bateri sebesar 486mAh yang bertahan sehingga 7 hari dalam penggunaan biasa.
Harga jualan bermula RMB999 (~RM612) untuk versi bluetooh dan RMB1199 (~RM734) pula untuk eSIM.
Catat Ulasan