Komputer Dengan Mesin Pencetak Terbina


Ketika dekad 80an dan 90an, Jepun sering dipaparkan sebagai negara serba moden. Ini dapat dilihat jelas dalam filem seperti Blade Runner dan Ghost in The Shell. Hakikatnya ialah penggunaan teknologi di Jepun seakan terhenti seketika lewat 80an akibat kemelesetan ekonomi. Mereka masih lagi memerlukan dokumen bercetak untuk melakukan urusan penting dan hanya baru-baru ini penghantaran dokumen digital disokong oleh majoriti agensi kerajaan walaupun menerima tentangan.

Maka tidaklah canggung melihat di Jepun komputer Toshiba Tec Jimucon SJ-9500 dilancarkan dengan ia mempunyai sebuah mesin pencetak dot-matrix terbina. Keseluruhan mesin direka untuk kegunaan pejabat dan perniagaan di Jepun yang masih memerlukan dokumen bercetak seperti industri percetakan, inventori, kewangan, dan pengurusan kos pembinaan.



Ia terdiri daripada sebuah skrin sesentuh 15″ dengan resolusi FHD serta menyokong stylus. Tiada maklumat mengenai CPU yang digunakan tetapi ia dipadankan dengan 8GB RAM dan dwi storan 256GB SSD. Mesin pencetak dot matrix yang mampu melakukan cetakan sehingga 240 abjad kanji sesaat.

Turut disertakan ialah pemacu DVD, port LAN, 6 USB, sambungan DP dan juga serial. Sistem operasi yang digunakan ialah Windows 10 IoT Enterprise LTSC 2021. Komputer AIO dengan mesin pencetak terbina ini direka untuk Jepun kerana isu kekurangan ruang memerlukan komputer kompak. Keseluruhan komputer ini adalah sebesar 23 kilogram.

0/komen