Pelabur Jadi 'Pengemis'


"Kami merayu, pulangkan semula wang pelaburan kerana ia hasil titik peluh dan ada juga yang terpaksa meminjam, banyak yang sudah kami korbankan sepanjang terjebak dengan skim pelaburan ini."

Demikian luahan beberapa peserta skim pelaburan, XFOX Market yang masih menanti pulangan pelaburan sehingga 30 peratus, yang didakwa masih belum diperoleh sehingga kini.

Seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Salim, 35 berkata, dia melabur lebih RM200,000 menerusi skim pelaburan syarikat itu selepas dijanjikan dengan pelbagai pulangan.

"Pada peringkat awal, saya menerima pulangan pelaburan berkenaan dan yakin untuk melabur dengan lebih banyak lagi."

"Saya meminjam dengan kawan-kawan termasuk pinjaman dengan bank, sehingga kini saya terpaksa membayar hutang itu semula tanpa pulangan pelaburan yang dijanjikan."

"Kemuncaknya, pada 30 Julai tahun lalu apabila semua pulangan serta komunikasi dengan pihak pelabur sudah terhenti walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menghubungi mereka," katanya.

Menurutnya, syarikat pelaburan itu juga memberikan pelbagai alasan apabila diminta untuk memulangkan wang berkenaan.

Seorang lagi peserta dikenali Nurul Huda, 34, berkata, dia melabur lebih RM250,000 hasil daripada wang simpanan miliknya serta beberapa anaknya yang turut serta dengan pelaburan syarikat terbabit.

"Sehingga kini, saya tidak menerima sebarang bentuk pulangan pelaburan dan pihak syarikat itu sudah tidak dapat dihubungi."

"Saya berharap supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya sekali gus membela lebih 30 peserta yang terpedaya," katanya yang turut membuat aduan kepada peguam, Dr Mahmud Jumaat.

Sementara itu, Mahmud berkata, pihaknya menggesa lebih ramai tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

"Modus operandi ini sama seperti yang lain, namun peserta tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan. Nasihat saya, laporkan kepada polis dan jangan tunggu lebih ramai jadi mangsa," katanya.

BNM belum selesai siasat skim pelaburan XFOX Market

Bank Negara Malaysia (BNM) masih menjalankan siasatan berhubung skim pelaburan XFOX Market Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan BNM yang dimuatnaik pada 14 Jun 2023 di laman web rasminya di bahagian "Financial Consumer Alert Update", pihak berkuasa itu sudah mengemaskini senarai 'Makluman Pengguna Kewangan' dengan memasukkan dua syarikat iaitu XFOX Market Trust dan XFOX Market Sdn Bhd sebagai tidak dibenarkan atau diluluskan mengikut undang-undang berkaitan kewangan yang ditadbir oleh BNM.

Selain itu, menurut kenyataan BNM yang dimuatnaik di laman web rasminya pada 31 Julai 2024, 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti simpanan dibekukan.

"Satu tindakan penguatkuasaan terhadap XFOX Market Sdn Bhd dan beberapa entiti lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 27B Jualan Langsung dan Anti-Piramid Akta Skim 1993 dan Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Akta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Entiti itu sebelum ini sudah disenaraikan dalam senarai 'Makluman Pengguna Kewangan' BNM," katanya.

Selain itu, BNM melaksanakan langkah penguatkuasaan terhadap 12 premis di sekitar Lembah Klang.

BNM dalam kenyataannya berkata, semua dokumen dan barang berkaitan yang diperlukan untuk membantu siasatan dirampas bersama-sama aset terdiri daripada emas, wang tunai berjumlah lebih RM4.85 juta termasuk beberapa mata wang asing, mata wang kripto serta kenderaan dan barangan mewah.

Menerusi bidang kuasa BNM, sabitan mengikut Seksyen 137(1) FSA kerana menerima deposit tanpa lesen membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1) AMLA membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

BNM mengingatkan supaya orang ramai untuk terus berwaspada dan memastikan mereka tidak terbabit dalam pelaburan yang tidak berdaftar

Polis gesa individu tertipu tampil buat laporan

Polis sudah membuka kertas siasatan membabitkan penipuan skim pelaburan XFOX Market Sdn Bhd membabitkan kerugian lebih RM2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tahun lalu sehingga 20 Januari lalu, sebanyak 37 laporan polis diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM2,245,057.22.

Menurutnya, sebanyak lima kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan dengan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa individu-individu yang sudah menyertai skim pelaburan ini dan berasa tertipu segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran."

"Dalam usaha membendung kegiatan sebegini, masyarakat diingatkan tidak mudah terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa yang singkat," katanya.

Ramli berkata, orang ramai perlu sentiasa membuat semakan terperinci dengan agensi kerajaan yang berkaitan sebelum mengambil keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan.

"Dapatkan nasihat serta maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan."

"Selain itu, orang ramai turut digalakkan membuat semakan menerusi senarai amaran pelabur yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC)," katanya.

Tahun lalu, pelbagai barangan mewah dan 92 akaun bank membabitkan nilai lebih RM30 juta milik syarikat pelaburan itu yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dirampas serta disita Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web rasminya pada 31 Julai 2024 memaklumkan, rampasan dan sitaan dibuat hasil operasi bersepadu yang dijalankan di 12 premis sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, serbuan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).


 

0/komen