Akauntan, Pesara Guru Rugi Lebih RM400,000

Seorang akauntan syarikat dan pesara guru di daerah ini kerugian RM414,902 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, kes pertama membabitkan seorang wanita berusia 21 tahun yang melihat iklan pelaburan di aplikasi Instagram pada 26 Februari lalu.

Katanya, tertarik dengan pelaburan itu, mangsa menekan satu pautan dan menerima satu pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

"Mangsa berminat dan membuat pemindahan wang melalui perbankan secara dalam talian melalui bank milik syarikat dan akaun bank miliknya sebanyak 16 transaksi kepada lapan akaun bank berbeza berjumlah RM240,467."

"Mangsa berasa tertipu kerana tidak memperoleh sebarang pulangan sebelum membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, kes kedua pula, pesara guru lelaki berusia 80 tahun kerugian RM174,435 selepas menyertai skim pelaburan kripto.

Katanya, pada awalnya mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 30 Oktober tahun lalu, sebelum berminat membuat pelaburan berjumlah RM60,000.

"Mangsa memantau pelaburan melalui satu aplikasi yang diberikan suspek dari Oktober tahun lalu sehingga bulan lalu sebelum mendapati pelaburannya meningkat sehingga AS$3 juta."

"Mangsa meminta untuk mengeluarkan semua wang tetapi diminta suspek untuk membayar cukai berjumlah RM174,435. Mangsa berbuat demikian dengan satu transaksi kepada akaun diberikan suspek."

"Mangsa sedar ditipu selepas didesak untuk membuat bayaran cukai yang lain dengan jumlah yang lebih besar. Sumber kewangan adalah daripada simpanan mangsa."

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai membuat semakan sebelum membuat sebarang pelaburan secara dalam talian untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

Katanya, jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Orang ramai juga dinasihatkan sekiranya ada menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan."

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

komen