
Lelaki kerugian lebih RM500,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan di aplikasi TikTok.
Mangsa berusia 49 tahun mendakwa tertarik dengan iklan yang dilihat pada Oktober 2023 sebelum berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai Alicia Goh melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diminta memuat turun satu aplikasi untuk melihat keuntungan pelaburan.
"Teruja dengan paparan keuntungan berjumlah lebih USD1.1 juta, mangsa melakukan 10 transaksi ke lima akaun bank antara 8 November tahun lalu hingga 3 Januari lalu dengan jumlah keseluruhan modal RM539,647."
"Namun, ketika cuba mengeluarkan keuntungan, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sekali gus menyedari ditipu lalu membuat laporan polis, semalam," katanya menerusi kenyataan kelmarin.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Siasatan akan turut meliputi pembabitan keldai akaun dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit."
"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan dalam talian yang menjanjikan kaedah mudah serta komisen tinggi," katanya.
Catat Ulasan