
Guru lelaki turut menjadi mangsa sindiket penipuan apabila kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 59 tahun dari Bera menerima satu mesej melalui aplikasi WhatsApp mengenai pelaburan itu pada 29 November tahun lalu.
Menurutnya, suspek menawarkan pakej pelaburan bitcoin dan mangsa dijanjikan mendapat pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
"Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan yang ditawarkan dengan melakukan 20 transaksi kepada 10 akaun bank sehingga nilai keseluruhan berjumlah RM228,460."
"Lelaki itu kemudian diminta memindahkan wang lagi, namun mangsa berasa tertipu sebelum tampil membuat laporan polis, semalam," katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan membuat semakan sebelum membuat sebarang pelaburan secara atas talian dan jangan mudah terpengaruh untuk mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.
Catat Ulasan