
Pegawai perubatan berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM86,200 lesap selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan mata wang kripto.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 39 tahun itu menerima pelawaan daripada seorang lelaki dikenali dengan nama Lucas pada Oktober tahun lalu untuk bersama dalam kumpulan WhatsApp bagi berkongsi maklumat pasaran saham.
Beliau berkata, mangsa yang diperkenalkan dengan pelaburan kripto pada November tahun lalu mula aktif membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan iaitu sebanyak lima transaksi berjumlah RM86,200.
"Wanita terbabit cuba mengeluarkan wang keuntungan daripada pelaburan berkenaan namun pelbagai alasan diberikan termasuk pembekuan akaun."
"Kecurigaan mangsa terhadap pelaburan ini bermula apabila Lucas mengarahkannya membuat pindahan wang sebanyak kira-kira RM160,000 kelmarin untuk semakan sumber pendapatan bagi membolehkan wang keuntungan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Azli berkata, susulan itu, wanita terbabit membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Catat Ulasan