
SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, bazar pastinya menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa.
Namun, tahun ini, harga minuman di bazar Ramadan yang semakin mahal hingga mencecah RM8 sebungkus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembeli.
Ramai berpandangan harga tersebut tidak berbaloi, lebih-lebih lagi bagi minuman yang boleh disediakan sendiri di rumah dengan kos yang jauh lebih murah.

Seorang pengguna, Fatimah Aziz Al-Haj menganggap dengan jumlah wang yang sama, seseorang boleh membeli kordial sirap dan susu cair yang cukup untuk dinikmati selama berhari-hari.
“Boleh tambah cincau lagi itu. Jimat dan lebih berbaloi,” katanya.
Sementara itu, pengguna lain, Al Asruul Mohamad menegaskan bahawa kuasa membeli terletak di tangan pengguna.
“Kalau harga mahal, jangan beli. Biarkan peniaga fikir sendiri kenapa tiada pembeli. Bila tiada sambutan, barulah mereka takut nak jual harga tinggi,” katanya.
Dalam nada yang sama, Ariff Kadir Al-Katami pula berpendapat bahawa peniaga hanya akan menurunkan harga jika diboikot.
“Air ni bukan susah nak buat sampai kena tumis bagai. Bancuh dan kacau sahaja. Itupun malas,” katanya.
Warga maya, Adam Mohd turut berpendapat lebih baik beredar sahaja jika harga air balang melebihi RM5.
“Kalau saiz besar, bolehlah pertimbangkan tetapi kalau kecil, macamlah pakai air mineral jenama mahal,” katanya.
Individu lain, Ann Ann pula berpendapat bahawa harga sepatutnya dinilai berdasarkan kualiti dan keunikan minuman tersebut.
“Kalau sedap, bahan berkualiti dan lain daripada yang lain, boleh beli. Tapi kalau setakat air jagung atau bandung soda yang mudah dibuat sendiri, lebih baik berjimat,” ujarnya.
Pengguna lain, Razali Ahmad pula memuji negeri Perlis yang masih menjual air balang pada harga yang berpatutan.
"Air balang dekat perlis masih lagi tiga bungkus RM5," katanya.
Bakar Ghaffar turut meluahkan kebimbangannya terhadap harga makanan dan minuman di bazar Ramadan yang semakin mahal.
“Harga di gerai bazar kadang-kadang lebih tinggi berbanding restoran atau kedai makan. Ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlebihan dalam tempoh sebulan ini,” katanya.
Sementara itu, Lipa Hanyut turut berkongsi rasa kecewa mereka dengan kualiti minuman yang dijual.
“Kalau mahal tapi berkualiti dan kuantitinya berbaloi, tiada masalah. Tapi ini cair dan penuh dengan ais batu,” katanya.
Catat Ulasan