Peniaga Wanita Rugi RM1.2 Juta


Seorang wanita kerugian RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian menyamar pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyelesaikan kes jenayah yang tidak wujud menggunakan modus operandi tunggakan pinjaman kereta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor, berkata wanita terbabit yang juga peniaga, 45, mula dihubungi sindiket pada 2 Disember lalu dengan mendakwa akaun bank mangsa disekat akibat tunggakan hutang kereta.

Katanya, wanita itu membuat laporan kelmarin selepas melakukan tujuh transaksi pindahan wang bermula 3 Disember 2024 hingga 10 Februari 2025 ke tiga akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM1,285,230.

"Mangsa menerima panggilan telefon dari nombor tidak dikenali pada 2 Disember lalu, memberitahu akaun banknya sudah disekat akibat tunggakan hutang kereta."

"Panggilan seterusnya disambungkan antara mangsa kepada pihak bank dan kemudian dihubungi pula oleh seorang lelaki yang mengaku dari BNM mengatakan mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram."

"Disebabkan takut, mangsa mengikuti segala arahan yang diberikan. Mangsa dijanjikan akan dihubungi semula untuk pemulangan wangnya tetapi tiada sebarang panggilan diterima."

"Mangsa yang curiga menceritakan perkara itu kepada kawannya sebelum mangsa diberitahu dia sudah ditipu," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Sajidan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dengan hasil siasatan awal mendapati sumber kerugian mangsa adalah daripada simpanan peribadi dan hasil perniagaan mangsa.
 

komen