Pesawat Terhempas


Sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan lot parkir sebuah rumah persaraan lalu meletup serta mencederakan lima orang.

Nahas itu mencetuskan tindak balas daripada perkhidmatan kecemasan yang bergegas ke kawasan kejiranan di Manheim, negeri Pennsylvania, ketika asap tebal menjulang naik ke udara.

Pesawat Beechcraft Bonanza itu terhempas di Rumah Pesara Kampung Brethren kira-kira pukul 3.18 petang (waktu tempatan) semalam.

Menurut pegawai, pesawat tersebut berjaya mengelak daripada melanggar struktur bangunan dalam hanya beberapa meter, namun terhempas di atas kenderaan yang diparkir.

Lima buah kereta rosak teruk akibat kejadian itu, manakala sebilangan lagi terbakar, tambahnya.

Ketua Bomba di Perbandaran Manheim, Scott Little berkata, kesemua lima penumpang dibawa ke hospital tetapi tidak memberikan maklumat terkini mengenai keadaan mereka.

Tiada mangsa di darat cedera dan tiada bangunan yang rosak.

Menurut audio daripada Kawalan Trafik Udara (ATC), juruterbang memberitahu menara kawalan Lapangan Terbang Lancaster bahawa salah satu pintu terbuka, justeru dia perlu berpatah balik untuk mendarat.

ATC membenarkan pesawat untuk kembali, namun beberapa saat kemudian menggesa juruterbang untuk menaikkan altitud pesawat.

Punca kejadian masih disiasat. 
 

0/komen