Rugi RM2.3 Juta Diperdaya Skim Pelaburan Tak Wujud


Seorang pesara kerugian RM2.3 juta selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud akibat terpedaya dengan jaminan pulangan tinggi ditawarkan sehingga AS$8 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang juga seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun, mendakwa diperdaya selepas menyertai kumpulan WhatsApp yang menawarkan skim pelaburan pada November tahun lalu.

"Mangsa kemudian diberikan pautan laman sesawang yang boleh diakses untuk melihat keuntungan dan mengendalikan pelaburan berkenaan."

"Dia yang tertarik dengan keuntungan tinggi dijanjikan sehingga AS$8 juta, membuat pelaburan dan melakukan transaksi pada 27 November tahun lalu sehingga 4 Mac lalu dengan empat pemindahan secara dalam talian ke empat akaun bank tempatan berjumlah RM2.3 juta," katanya dalam kenyataan di sini.

Kumar berkata, mangsa yang sedar ditipu selepas tidak berjaya mengeluarkan keuntungan diperoleh kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
 

komen