
MyJPJ merupakan sebuah aplikasi yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan yang membolehkan pengguna untuk melihat dan memaparkan lesen memandu dan juga lesen pemilikan kenderaan dengan cepat dan mudah, tanpa memerlukan kad dan pelekat fizikal.
Selain daripada itu, aplikasi tersebut juga boleh memaparkan sebarang saman yang dikeluarkan oleh pihak JPJ kepada pemandu, dan kini, nampaknya pemandu yang dikenakan saman ini juga boleh mula membayar saman melalui aplikasi tersebut.
Ciri ini nampaknya diperkenalkan baru-baru ini, bersempena dengan kempen JPJ yang membolehkan pengguna untuk membayar beberapa saman tertentu, termasuklah Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Ketiga-tiga saman ini boleh dibayar pada harga diskaun 50 peratus sebanyak RM150 bermula esok, 3 Januari 2025 sehingga 30 Jun 2025. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, diskaun saman ini diberikan kerana setakat ini, terdapat sebanyak 2 juta saman AwAS tertunggak, dan sekiranya saman ini tidak dibayar, pemandu tidak dibenarkan untuk memperbaharui lesen memandu dan kenderaan motor mereka.
Saman ini boleh dibayar melalui kaunter dan kiosk fizikal JPJ, ataupun melalui aplikasi MyJPJ yang kini hadir dengan ciri pembayaran saman.
Catat Ulasan